‘Hanya satu, tak tahu pun kami selalu buat video bersama’

5 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Dipuji serasi digandingkan dengan Qasrina Karim dalam drama Thariq Ridzuwan: His Treasure, pelakon Meerqeen bagaimanapun menafikan spekulasi mereka bercinta apabila didakwa kerap merakamkan video berdua.

Sebaliknya, Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 24, memaklumkan hanya menghasilkan satu video TikTok bersama wanita terbabit sepanjang penggambaran drama berkenaan.

“Saya tak tahu pun kami selalu buat video bersama? Setakat ini kami hanya ada satu video sahaja.

“Saya tak nampak (video) dan benda itu tak viral pun.

“Mungkin yang tular adalah sebahagian daripada babak dalam drama lakonan kami,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media Home Of Drama di sini, baru-baru ini.

Sebelum ini, Meerqeen dan Qasrina dilihat banyak menghabiskan masa bersama-sama kerana terikat dengan komitmen drama Thariq Ridzuwan: His Treasure.

Disebabkan itu, wujud kelompok peminat yang mendoakan agar hubungan mereka ‘dihalalkan’ segera sebagai suami isteri.

Berkongsi mengenai drama bersiri arahan Eyra Rahman itu, Meerqeen memainkan watak utama dalam karya adaptasi novel karya Huda Najwa terbabit iaitu sebagai Leftenan Thariq Ridzuwan.

Meskipun pada peringkat awal pemilihannya tidak direstui ramai, pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu menjadikan perkara tersebut sebagai motivasi untuk membuktikan kemampuan diri.

“Jujur saya tak tercabar pun bila ada yang persoalkan kenapa saya dipilih. Lagipun saya dibayar untuk berlakon dalam drama ini, jadi kenapa perlu saya terguris hati dengan komen mereka.

“Saya pun tak baca komen atau ambil tahu apa yang orang nak katakan mengenai saya. Sebaliknya saya merasa lebih teruja nak buktikan saya mampu bawa watak Thariq Ridzuwan dengan baik.

“Bagi saya, mereka yang mengkritik terlebih dulu tanpa melihat visual samalah seperti orang yang jatuh hukum makanan tak sedap tanpa merasanya terlebih dulu,” katanya lagi.

Thariq Ridzuwan: His Treasure merupakan drama romantik yang mengisahkan seorang anggota elit kembali menyelamatkan cinta pertamanya daripada perkahwinan paksa.

Drama terbitan MIG Production itu bakal menemui penonton pada 23 Julai depan di saluran Astro Ria setiap Rabu dan Khamis pukul 9 malam. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |