PETALING JAYA – Tidak cukup edisi pertama, pelakon Nabila Huda muncul dengan monolog kedua menempelak wanita sama yang didakwa sebagai punca nama suami sendiri menjadi busuk.
Kata pemilik nama lengkap Nabila Huda Suhaimi, 40, itu, individu terbabit sepatutnya tampil mempertahankan insan yang kini berdepan kontroversi itu, namun sengaja memilih untuk ‘menikus’.
“Mana ‘betina’ yang punca porak peranda ni? Senyap sahaja. Duit nak, kaya nak, beg tangan mahal nak, status datin nak, semua kau dapat.
“Tapi kau biarkan sahaja nama suami kau kena caci dengan tahi yang kau dah buat,” katanya dalam hantaran Instagtam.
Pada masa sama, Nabila atau mesra dipanggil Abil turut menzahirkan perasaan puas apabila individu dimaksudkan ibarat bertemu buku dengan ruas susulan kemelut terbaharu yang diperkatakan ramai ketika ini.
Baginya, insiden kali ini seolah-olah memberi peringatan kepadanya yang didakwa sebelum ini kerap membuli orang lain tetapi masih selamat disebabkan suaminya dihormati ramai.
“Buat malu sahaja, tapi kali ini baru betul. Buku bertemu ruas. Ramai sebenarnya dah jadi mangsa buli dan maki kau. Tapi tak boleh nak bersuara.
“Bila-bila masa sahaja sebenarnya nak bersuara tapi orang semua terlalu menghormati suami kau. Lambat lagi orang nak takut dengan kau,” luahnya.
Begitupun, ibu kepada seorang anak itu tidak ‘memetik’ nama mana-mana pihak tetapi ramai meneka perkongsiannya dakwaan penyanyi Shila Amzah terhadap bapanya, Datuk Amy Search.
Pada hantaran sama, Nabila turut memuji keperibadian bapanya dengan menyifatkan insan dihormatinya itu sebagai lelaki berpersonaliti baik yang menjadi contoh kepadanya.
“Saya kenal dia (Amy), dia bukan macam itu. Dia seorang yang sangat baik dan tenang. Semua sifat rendah diri, karakter yang ada dalam diri saya, datang daripada dia.
“Sejak kecil lagi dia selalu ajar saya untuk sentiasa menjadi orang yang merendah diri,” ujarnya.
Terdahulu, pada Khamis lalu Shila menggemparkan ramai apabila mendakwa dirinya ‘diserang’ seorang penyanyi legenda sewaktu sesi latihan sebuah acara di Stadium Merdeka.
Penyanyi Patah Seribu itu turut membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan.
Shila kemudian mengesahkan individu yang mengherdiknya ketika sesi latihan tersebut ialah Amy, bahkan polis juga sudah mengambil keterangan vokalis Search itu untuk siasatan lanjut.
Hasil siasatan mendapati tindakan Amy itu adalah berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap Shila yang didakwa mencampuri urusan keluarganya. – KOSMO! ONLINE