[VIDEO] Tak boleh dah, orang dah tak nak dengan kita – Zahnita

4 hours ago 2

KUANTAN – “Tak boleh dah, orang dah tak nak dengan kita, tak ada pujuk apa-apa.”

Demikian kata bekas model Zahnita Wilson ketika ditanya sama ada dia akan kembali bersama suaminya Abd Zackery Ghouse, 47.

Zahnita yang hadir ke Mahkamah Syariah Kuantan diiringi abangnya Mohd Julian Hussein Wilson Hussein hari ini kelihatan menahan sebak selepas keluar daripada mahkamah bagi perbicaraan kes perceraiannya.

Menurut ibu kepada empat orang anak itu, dia sudah nekad dan membuat keputusan muktamad untuk meneruskan perceraian selepas hakam keluarga yang dilantik gagal menemui titik perdamaian dalam mengembalikan semula rumah tangganya.

Beliau memberitahu sepanjang perlantikan hakam keluarga juga dia tidak pernah berjumpa atau berhubung dengan suaminya bagi membincangkan mengenai isu perceraian itu.

Jelasnya, dia bertekad untuk meneruskan kehidupan dan tidak mahu menoleh ke belakang lagi dengan melakukan apa yang terbaik untuk dirinya.

“Tak boleh dah, orang dah tak nak dengan kita tak ada pujuk apa-apa, so i want move on with my life.

“Dah tak boleh hidup bersama,”katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Syariah Kuantan di sini hari ini.

Prosiding mahkamah hari ini adalah bagi melihat keputusan daripada pelantikan hakam iaitu Mohd Julian Hussein Wilson Hussein yang mewakili Zahnita dan Parwish Mohd Yusof bagi mewakili Abd. Zackery.

Selain itu mahkamah turut membenarkan permohonan Zahnita untuk menghalang sebarang kenyataan media berkaitan dengan anak-anaknya serta membenarkan Zahnita mengambil barang peribadi beliau dari rumah suaminya.

Dalam pada itu peguam kepada Zahnita, Nur Ashikin Abdul Rahim berkata, kes perceraian Zahnita dengan Abd Zackery diteruskan dan masuk ke peringkat akhir iaitu pelantikan hakam panel.

Katanya, hakam keluarga telah gagal mendamaikan kedua pasangan itu dalam tempoh diberikan menyebabkan Hakim Mohamad Fahmi Abdul Jalil menamatkan hakam keluarga dengan melantik hakam panel pada 20 Jun depan.

Terdahulu, Zahnita pada 2 Disember tahun lalu berkongsi foto dalam Instagram memaparkan bahagian mata kirinya dalam keadaan lebam.

Dakwa aktres berkenaan, punca kecederaan tersebut adalah disebabkan dibelasah oleh suami sendiri selain mengatakan Zackery mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Zackery mendirikan rumah tangga dengan Zahnita pada 2005. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zahrafeena, 18, Zasharayna Ghouse, 13, Zahlia Syawwal, 8 dan Abd Zayden Ghouse, 4 tahun. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |