PETALING JAYA – Kira-kira 5,000 pengunjung dijangka menyertai Malaysia Digital Xceleration (MDX) Summit 2025 dan SmartGov Malaysia 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) September ini.
Pameran dan persidangan yang akan diadakan selama tiga hari bermula 17 September itu adalah anjuran bersama Jabatan Digital Negara (JDN) dengan kerjasama strategik Synapze Sdn. Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil berkata, penganjuran edisi ketiga MDX Summit dan edisi sulung SmartGov Malaysia bakal memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju digital ASEAN.
Jelasnya, penganjuran kali ini turut memberi penekanan kepada teknologi peralatan baharu dan impaknya terhadap kehidupan harian masyarakat.
“MDX Summit 2025 merupakan penganjuran tahun ketiga dan sentiasa berbeza kerana menampilkan teknologi baharu. Tahun ini, fokus diberikan kepada bagaimana alat baharu ini menjadikan hidup lebih produktif dan bermakna.
“Jadi saya jemput orang ramai untuk hadir dan menyaksikan sendiri teknologi-teknologi terkini yang bukan sahaja dari Malaysia, malah turut disertai oleh pempamer dari luar negara,” katanya pada sidang akhbar majls pelancaran MDX Summit 2025 dan SmartGov Malaysia 2025 semalam.
MDX 2025 berteraskan lima asas iaitu Data Generasi Baharu, Komputasi Masa Depan, Kepercayaan Digital, Kreativiti Baharu dan Pembangunan Bakat.
Ia akan menampilkan bagaimana inovasi teknologi digunakan dalam penyelesaian praktikal kepada perniagaan, kerajaan dan rakyat.
Manakala, SmartGov Malaysia 2025 menumpukan kepada tiga tunjang utama: AI untuk penyelesaian berfokus rakyat, Big Data untuk ketelusan dan Cloud Computing untuk perkhidmatan yang tangkas serta berdaya tahan.
Sementara itu, Pengarah Synapze, Andrew Tai berkata, impak MDX diukur melalui pelbagai metrik, termasuk peningkatan bilangan syarikat berstatus Malaysia Digital (MD) yang kini mencecah 6,000 pendaftaran.
“Ia bukan hanya soal bilangan atau kewangan, tetapi juga pengetahuan baharu, perbualan berkualiti, serta bagaimana ekosistem MD digerakkan untuk menjayakan program ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya tentang sambutan untuk edisi kali, beliau berkata, sambutan dijangka akan lebih tinggi berbanding dua edisi sebelum ini.
“Saya jangkakan bila kita membuka pendaftaran esok, mungkin akan ramai yang ingin menyertai MDX Summit ini. Jika edisi sebelum ini kita berjaya mengumpulkan lebih 4,000 pengunjung dan pempamer, mungkin kali ini boleh melebihi 5,000,”katanya.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari: https://mdec.my/mdx.-KOSMO! ONLINE