[VIDEO] Jemaah terkandas pulang esok, terima kasih kepada semua

1 month ago 29

PETALING JAYA – Seramai 36 jemaah umrah yang dilaporkan terkandas di Madinah, berjaya mendapatkan tiket penerbangan pulang menerusi hasil sumbangan pelbagai pihak dan rakyat Malaysia serta dijangka berlepas ke tanah air esok.

Perkara itu dimaklumkan oleh pelakon, Avaa Vanja yang juga mutawifah Ikhlas.com dan dia memaklumkan, penerbangan itu adalah melalui pesawat AirAsia dari Jeddah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

Katanya, sehubungan itu, sumbangan yang dibuka sebelum ini telah ditutup memandangkan jumlah terkumpul itu mencukupi untuk pengurusan dan membawa pulang jemaah tersebut ke Malaysia.

“Saya ingin berkongsi perkembangan terbaru berkaitan jemaah yang terkandas di Madinah. Alhamdulillah, dengan bantuan dan sumbangan pelbagai pihak yang prihatin, para jemaah telah berjaya mendapatkan tiket penerbangan pulang ke Malaysia melalui AirAsia.

“Sebagai mutawifah Ikhlas.com dan wakil, saya ingin ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang tampil membantu, daripada individu persendirian hingga ke pihak yang terlibat secara langsung dalam urusan kebajikan mereka.

“Ikhlas.com telah menggalas tanggungjawab ini yang mana satu pasukan khas juga diatur untuk memastikan kebajikan jemaah terjaga. Penginapan, makanan dan pengangkutan jemaah diuruskan juga oleh pihak Ikhlas.com sebaiknya sehingga mereka berlepas pulang pada 5 Januari 2026,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Avaa turut berkongsi video penghargaan terima kasih daripada wakil jemaah, Ahmad Fauzi Abd. Rahman, 58, kepada semua pihak termasuk individu yang membantu keluarganya untuk pulang ke tanah air.

“Terima kasih kepada Puan Avaa selaku wakil Ikhlas.com, individu lain, Tuan Afiz Ayub (KRS Travel) dan rakan-rakan serta individu lain kerana dapat bawa kami pulang. Semoga dengan semua sumbangan, semoga murah rezeki dan terima kasih dapat membantu,” katanya.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan, seramai 36 jemaah umrah termasuk 11 kanak-kanak dan seorang warga emas berkerusi roda sebelum ini dilaporkan hidup seperti nomad apabila dikatakan terpaksa berpindah-randah hotel di Mekah dan Madinah beberapa kali, berikutan pihak agensi didakwa gagal membuat tempahan awal.

Bahkan, lima daripada jemaah itu sepatutnya kembali ke Malaysia pada 30 Disember, tidak dapat berbuat demikian berikutan tiket didakwa belum ditempah oleh pihak agensi, manakala baki yang lain pulang ke tanah air pada semalam belum mendapat tiket tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |