Trump umum tarif Malaysia 19 peratus

21 hours ago 4

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, telah menandatangani satu perintah eksekutif yang mengubah kadar tarif timbal balik untuk beberapa negara, menurut kenyataan White House seperti dilaporkan portal berita Channel News Asia hari ini.

Kadar tarif timbal balik tersebut berada dalam lingkungan 10 peratus hingga 41 peratus dan akan dikuatkuasakan pada 7 Ogos ini.

Malaysia kini dikenakan kadar tarif sebanyak 19 peratus ke atas barangannya yang dieksport ke AS, menurun daripada kadar sebelumnya iaitu 25 peratus.

Cukai ke atas barangan dari Singapura yang dieksport ke AS dijangka kekal pada kadar 10 peratus.

Kadar tarif bagi Myanmar dan Laos kekal tinggi pada 40 peratus. 

Kedua-dua negara tersebut tidak mencapai perjanjian perdagangan dengan Amerika.

Kemboja dan Thailand masing-masing menyaksikan pengurangan kadar tarif kepada 19 peratus daripada kadar yang sebelum ini  iaitu 36 peratus. 

Pengurangan ini berlaku selepas kedua-dua negara Asia Tenggara itu bersetuju untuk menghentikan pertempuran serta-merta dan tanpa syarat, setelah Trump mengancam untuk tidak meneruskan sebarang perjanjian perdagangan sekiranya pertikaian sempadan diteruskan.

Filipina dan Indonesia dikenakan tarif sebanyak 19 peratus, mengikut perjanjian perdagangan yang telah dipersetujui sebelum ini dengan Amerika.

Barangan dari Vietnam yang dieksport ke AS akan dikenakan tarif sebanyak 20 peratus, sebagaimana yang telah dipersetujui sebelum ini. 

Syria dikenakan kadar tarif sebanyak 41 peratus.

“Presiden telah memutuskan bahawa adalah perlu dan wajar untuk mengubah kadar tarif timbal balik bagi negara-negara tertentu,” kata White House.

Tiada keputusan muktamad telah dibuat mengenai China, kata seorang pegawai kanan AS.

Pegawai-pegawai AS dan China pada 29 Julai lalu telah bersetuju untuk mencari jalan bagi melanjutkan ‘gencatan’ tarif selama 90 hari yang dijadualkan tamat pada 12 Ogos ini walaupun Trump masih belum secara rasmi bersetuju dengan lanjutan tersebut.

Trump juga telah menandatangani satu perintah eksekutif untuk menaikkan tarif ke atas barangan dari Kanada kepada 35 peratus, daripada kadar sebelumnya iaitu 25 peratus, menurut kenyataan White House. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |