KOTA BHARU – Luluh hati seorang bapa melihat anaknya terbujur dalam keadaan tidak bernyawa di dalam surau selepas dipercayai dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V di dalam kawasan sekolah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah.
Bapa mangsa, Mohd. Azaudin Abdullah, 43, berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia terkejut melihat jasad anaknya sudah ditutup dengan kain oleh beberapa guru. Kejadian dipercayai berlaku ketika remaja tersebut sedang memakai stokin selepas selesai solat zuhur berjemaah.
“Arwah merupakan anak ketiga daripada empat beradik. Dua anak saya bersekolah di sekolah sama. Ketika kejadian, saya berada di tempat kerja sebelum dihubungi adik ipar yang menangis dan meminta saya datang ke sekolah.
“(Sebaik sampai) Saya lihat arwah sudah terbaring di surau. Saya terkejut dan tergamam melihat keadaan anak sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian di sini hari ini.
Mohd. Azaudin berkata, pihak sekolah memaklumkan anaknya sudah meninggal dunia, namun tidak diberitahu lebih lanjut termasuk individu yang melanggar Nur Fatimatul Hawa.
Ceritanya, sejak kematian isteri, dia bertemu anaknya dua kali seminggu di rumah adik ipar. Jenazah remaja itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong Mas di sini selepas selesai bedah siasat.
Sementara, ibu saudara mangsa, Zuraifah Mohd. Noor, 43, berkata, ketika kejadian, dia berada di pekarangan sekolah untuk mengambil mangsa, namun hairan kerana Fatimatul Hawa tidak muncul sedangkan remaja itu akan keluar awal berbanding biasa.
“Tiba-tiba seorang lagi anak saudara saya berusia 15 tahun yang bersekolah di sekolah sama berlari ke arah saya dan memaklumkan adiknya sudah tiada. Saya bergegas ke surau dan mendapati tubuh Nur Fatimatul Hawa sudah ditutup dengan kain,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, perkembangan lanjut akan menyusul. – KOSMO! ONLINE

9 hours ago
7

















![[VIDEO] Tengah makan beg pelanggan kena ragut….](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/Tangkap-layar-memaparkan-hantaran-yang-dimuat-naik-oleh-Oriental-Kopi-di-laman-Instagram..jpeg)





























