PHNOM PENH – Thailand dan Kemboja mengalu-alukan kadar tarif perdagangan 19 peratus yang diumumkan Presiden Donald Trump semalam, mengelakkan ancaman cukai import Washington sebanyak 36 peratus yang diumumkan beberapa hari selepas Trump campur tangan untuk membantu merealisasikan gencatan senjata bagi menamatkan konflik sempadan kedua-dua negara.
Phnom Penh berkata, kerajaan Kemboja akan menggugurkan semua tarif ke atas import dari Amerika Syarikat(AS). Kemboja juga akan menempah sehingga 20 pesawat Boeing 737 untuk syarikat penerbangan nasionalnya sebagai usaha lanjut untuk ‘memikat’ pentadbiran Trump.
Berpuluh-puluh negara lain berdepan duti import tinggi di bawah rejim tarif yang diluluskan oleh Trump di Washington kelmarin. Kadar tarif baharu itu akan berkuat kuasa dalam masa seminggu.
Trump pada mulanya mengancam mengenakan tarif 49 peratus ke atas Kemboja sebagai sebahagian daripada langkah ‘Hari Pembebasan’, bertujuan untuk mengimbangi semula perdagangan dunia supaya memihak kepada Amerika, tetapi mengurangkannya kepada 36 peratus bulan lepas.
“Ini berita terbaik untuk rakyat dan ekonomi Kemboja dalam usaha membangunkan negara,” kata Perdana Menteri Hun Manet di laman Facebook selepas cukai 19 peratus itu diumumkan.
Pengumuman tarif itu dibuat beberapa hari selepas Trump campur tangan untuk membantu melaksanakan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja bagi menamatkan pertempuran di sempadan yang mengorbankan lebih 40 nyawa.
Timbalan Perdana Menteri Sun Chanthol memberitahu wartawan bahawa Kemboja akan ‘menghapuskan semua garis tarif’ untuk AS melibatkan lebih 11,000 produk secara keseluruhan.
Jirannya, Thailand pula telah berunding dengan Washington selama berminggu-minggu untuk mengurangkan tarif 36 peratus yang diumumkan Trump sebelum ini.
“Perjanjian akhir ini yang menetapkan tarif untuk Thailand sebanyak 19 peratus menandakan kejayaan besar buat Thailand,” kata jurucakap kerajaan, Jirayu Huangsab dalam satu kenyataan.
“Ia mewakili pendekatan menang-menang bertujuan untuk memulihara asas eksport dan kestabilan ekonomi jangka panjang Thailand,” tambahnya. – AFP