Sultan Selangor titah semua pihak hati-hati keluar kenyataan berkaitan Islam

1 day ago 10

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar semua pihak termasuk SIS Forum (Malaysia) lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau penerbitan berkaitan dengan agama Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin berkata, baginda menegaskan ini untuk memastikan perkara yang disampaikan kepada masyarakat tidak bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar mengikut pegangan dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Sultan Sharafuddin juga menasihatkan agar SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana syarikat lain, pertubuhan atau organisasi sentiasa menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan Negeri.

“Selain itu, merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri berhubung dengan apa-apa perkara yang berkaitan dengan agama Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kata beliau, Sultan Sharafuddin telah menyampaikan hasrat baginda melalui MAIS agar SIS Forum (Malaysia) meneruskan aktiviti memberi kesedaran berhubung dengan hak wanita dan undang-undang keluarga Islam menurut ajaran Islam yang sebenar.

Tambahnya, sebagai sebuah syarikat yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat, SIS Forum (Malaysia) juga hendaklah menumpukan usaha untuk meningkatkan perpaduan di kalangan masyarakat demi keharmonian masyarakat di negara ini.

Dalam pada itu, Salehuddin memaklumkan MAIS menyambut baik tindakan SIS Forum (Malaysia) yang telah menggugurkan perkataan ‘Islam’ daripada nama ‘Sisters In Islam’ yang lazim digunakan oleh syarikat itu.

Ujarnya, langkah ini merupakan suatu tindakan yang sangat wajar dilaksanakan dan mencerminkan kesediaan SIS Forum untuk menghormati titah Sultan Sharafuddin selaku Ketua Agama Islam di Selangor.

“Berikutan itu, MAIS menyarankan agar semua pihak lain juga tidak lagi merujuk syarikat itu dengan nama ‘Sisters In Islam’ dalam apa-apa kenyataan atau penerbitan pada masa akan datang,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Sultan Sharafuddin menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka.

Ini supaya perkataan ‘Islam’ tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |