SSB kembali juarai Wind Orchestra selepas sedekad

3 hours ago 4

SEDEKAD bukanlah tempoh yang singkat. Sepanjang 10 tahun itu, generasi pelajar datang dan pergi, namun impian untuk melihat SDAR Symphonic Band (SSB) kembali berdiri sebagai juara kebangsaan bagi Festival Wind Orchestra Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kebangsaan tidak pernah terpadam.

Penantian tersebut akhirnya berakhir apabila pasukan Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) itu dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan festival tersebut tahun ini yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia baru-baru ini.

Bersaing dengan 18 sekolah berasrama penuh lain dari seluruh negara, SSB dari Seremban, Negeri Sembilan itu bukan sahaja membawa pulang gelaran utama, malah turut meraih Gold Award, Best Ensemble Section dan Best Brass Section.

Kemenangan itu cukup bermakna kerana kali terakhir SSB bergelar juara pertandingan berkenaan adalah pada 2016.

Namun, di sebalik trofi dan pengiktirafan tersebut tersimpan kisah mengenai semangat komuniti, pengorbanan dan ilmu yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.

Sejak 2024, SSB menerima bimbingan berterusan daripada alumni SDAR atau SDARA yang kembali ke sekolah secara sukarela untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka dalam bidang muzik.

Sebahagian daripada mereka pernah berada di tempat sama sebagai pelajar dan anggota SSB. Kini, mereka kembali sebagai jurulatih serta pembimbing kepada generasi baharu.

Antara individu penting di sebalik perjalanan tersebut ialah bekas ahli SSB, Adam Asyraf Shazly yang mula membimbing pasukan berkenaan sejak 2024.

Bagi Adam, 26, membentuk SSB bukan sekadar menyediakan pelajar untuk sebuah pertandingan atau mengejar trofi semata-mata. Sebaliknya, proses itu bermula dengan membina asas muzik, memperhalusi teknik permainan, membentuk disiplin serta mewujudkan keserasian antara pemain.

Komitmen sama turut ditunjukkan para pelajar yang sanggup memendekkan cuti persekolahan dan kembali lebih awal ke sekolah bagi menyertai band camp serta menjalani latihan intensif.

Sepanjang hampir dua tahun membimbing SSB, Adam turut menggubah beberapa karya muzik untuk pasukan tersebut, sekali gus membantu membentuk identiti dan karakter muzik mereka.

Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban yang meraih Gold Award mengenepikan cabaran sekolah-sekolah SBP lain terutama Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud (SESMA) Terengganu (kedua), Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Putrajaya (ketiga), SM Sains Selangor (keempat) dan SM Sains Kuching (SAINSKU), Sarawak (kelima).

Menurut satu kenyataan, penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) Rose Aza Che Arifin.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengetua Sekolah Sultan Alam Shah, Nor Azam Abdullah selaku pengelola Festival Wind Orchestra SBP Peringkat Kebangsaan ke-24

Tahun 2026 serta Pengarah Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, Husalshah Rizal Hussian.

Kejayaan SDAR membuktikan bahawa kecemerlangan murid SBP tidak hanya terserlah di bilik darjah, malah turut bergema di pentas seni dan muzik, melalui bakat, kesungguhan dan semangat berpasukan yang tinggi.

Menurut Adam lagi, matlamat mereka adalah untuk melahirkan pemuzik yang bukan sahaja mampu bermain dengan baik, tetapi memahami pentingnya disiplin dan kerja berpasukan.

“Kita bukan sekadar mahu mereka bermain dengan baik untuk menang pertandingan. Kita mahu membentuk mereka menjadi pemuzik yang memahami disiplin, teamwork dan bagaimana untuk mendengar antara satu sama lain.

“Apabila setiap ahli berhenti bermain sebagai individu dan mula bermain sebagai satu pasukan, di situlah kita dapat dengar satu bunyi yang sebenar iaitu One Band, One Sound,” katanya.

Menariknya, SSB membariskan hanya 41 pemuzik dengan sokongan 10 Quarter Master (QM) yang memainkan peranan penting di belakang tabir dalam memastikan persediaan dan persembahan berjalan lancar.

Barisan 41 pemuzik SSB bersama 10 QM, para kenamaan, guru dan jurulatih meraikan kejayaan kembali bergelar Johan Keseluruhan Festival Wind Orchestra SBP Kebangsaan pada festival tahun ini yang berlangsung di UPM
baru-baru ini.

Walaupun jumlah itu lebih kecil berbanding beberapa pasukan lain, SSB membuktikan saiz bukan penentu kekuatan sesebuah ensemble.

Sebaliknya, keseimbangan bunyi, ketepatan permainan, keserasian antara seksyen serta kefahaman setiap pemain terhadap peranan masing-masing menjadi kekuatan utama mereka.

“Jumlah ahli bukan penentu kepada kekuatan sesebuah band. Apa yang kami cuba bina ialah kesepaduan. Setiap pemain perlu tahu peranan mereka dan percaya kepada pemain di sebelah mereka.

“Saya sangat bangga melihat bagaimana anak-anak ini berkembang, bukan sahaja dari segi muzik tetapi juga disiplin, keyakinan dan kematangan mereka sebagai sebuah pasukan,” jelas Adam.

Usaha tersebut diterjemahkan menerusi kemenangan Best Ensemble Section dan Best Brass Section yang menjadi pengiktirafan terhadap kesepaduan permainan SSB.

Bagi Adam, penglibatan alumni juga membawa makna lebih besar kerana ia meneruskan legasi dan budaya membantu yang telah lama menjadi sebahagian daripada komuniti SDAR.

Meskipun mempunyai komitmen kerjaya, keluarga dan kehidupan masing-masing, alumni terbabit tetap meluangkan masa untuk kembali melatih pelajar tanpa mengharapkan bayaran atau ganjaran.

“Ramai antara kami pernah berada di tempat mereka. Kami juga pernah menjadi budak-budak SDAR yang dibimbing oleh orang lain.

“Jadi apabila tiba masanya untuk kami kembali dan berkongsi apa yang kami tahu, kami buat kerana passion terhadap muzik dan kerana sayangkan SSB. Bukan soal bayaran atau ganjaran.

“Kalau ilmu dan pengalaman yang kita ada boleh membantu generasi selepas kita pergi lebih jauh, itulah bagi saya maksud sebenar ‘Berilmu Untuk Berjasa’,” katanya.

Semangat tersebut mencerminkan moto SDAR, Berilmu Untuk Berjasa, apabila pengalaman yang diperoleh seseorang tidak terhenti untuk manfaat dirinya sendiri, sebaliknya dikembalikan kepada komuniti.

Kejayaan terbaharu itu juga bukan satu-satunya pencapaian SSB sepanjang 2026.

Sebelum muncul juara Festival Wind Orchestra SBP Kebangsaan, mereka telah meraih Johan Modern Concert Band dan Gold Award pada Asian Music Games 2026 – National Qualifier selain Gold Award pada Festival Kesenian Muzik Malaysia 2026.

Rentetan tiga pencapaian itu menunjukkan kejayaan SSB tidak hadir dalam satu malam, sebaliknya hasil pembangunan konsisten melibatkan pelajar, guru, pihak sekolah, ibu bapa dan alumni.

Di sebalik beberapa minit persembahan di atas pentas, terdapat berbulan-bulan latihan dan pengorbanan apabila pelajar perlu mengimbangi tuntutan akademik dengan latihan muzik. Guru pula menjadi tulang belakang dalam mengurus perjalanan pasukan, sementara ibu bapa memberi sokongan daripada aspek masa, tenaga, kewangan dan logistik.

Penglibatan SDARA seterusnya menjadi jambatan yang menghubungkan generasi terdahulu dengan pelajar hari ini, sekali gus memastikan ilmu serta pengalaman tidak terputus selepas seseorang meninggalkan sekolah.

Selepas kejayaan kebangsaan itu, SSB kini memberi tumpuan kepada Asian Music Games (AMG) pada September dengan sasaran meneruskan momentum dan sekali lagi membawa pulang Gold Award.

Perancangan turut dibuat untuk menganjurkan Konsert SDAR Symphonic Band pada 2027 bagi menghimpunkan generasi SSB terdahulu dan semasa serta memperkenalkan muzik mereka kepada khalayak lebih luas.

Namun, mungkin legasi paling besar daripada kemenangan kali ini bukanlah trofi yang dibawa pulang. Sebaliknya, harapan agar pemuzik muda yang dibimbing hari ini akan kembali ke SDAR pada masa hadapan untuk berkongsi ilmu dengan generasi selepas mereka.

Sedekad selepas satu generasi mengangkat nama SDAR, alumni kembali membantu generasi baharu melakukan perkara sama.

Daripada mereka yang pernah dibimbing kepada mereka yang kini membimbing, perjalanan SSB membuktikan sebuah kemenangan boleh menjadi lebih bermakna apabila kejayaan itu terus diwariskan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |