PEMASANGAN kamera papan pemuka atau dashcam dalam kenderaan semakin menjadi pilihan ramai pengguna jalan raya.
Peranti kecil yang dipasang pada bahagian hadapan kenderaan itu mampu merakam keadaan sepanjang perjalanan, sekali gus menyediakan bukti visual sekiranya berlaku kemalangan, jenayah atau kejadian tidak diingini.
Bagi seorang pengguna jalan raya, Muhammad Ramadhan Ahmad Rasit, manfaat utama penggunaan dashcam adalah untuk dijadikan bukti sekiranya ada pihak yang berkemungkinan akan memberi keterangan berbeza apabila berlaku kemalangan.
Tindakan itu tentu sahaja akan menyukarkan proses siasatan untuk menentukan pihak bertanggungjawab kerana kekurangan bukti kukuh.
“Rakaman kamera dapat menunjukkan keadaan sebenar sebelum, ketika dan selepas kemalangan berlaku termasuk pergerakan kenderaan, lampu isyarat serta keadaan jalan.
“Dashcam mampu merakam tindakan pemandu yang memandu secara berbahaya, memotong secara melulu, melanggar lampu isyarat atau menggunakan lorong secara tidak wajar.
“Rakaman yang jelas boleh membantu memberikan gambaran lebih tepat mengenai kejadian berbanding bergantung sepenuhnya kepada keterangan saksi,” katanya kepada K-Tekno baru-baru ini.
Selain kemalangan, dashcam turut berguna ketika berdepan jenayah jalan raya seperti langgar lari, cubaan merompak, vandalisme atau tindakan mencurigakan.
Maklumat seperti nombor pendaftaran kenderaan, jenis kereta, warna dan pergerakan berpotensi membantu pihak berkuasa mengenal pasti suspek.
Sesetengah dashcam turut mempunyai fungsi rakaman ketika kenderaan diletakkan atau diparkir.
Ia sebagai lapisan perlindungan tambahan kepada pemilik sekira kenderaan dilanggar, dirosakkan atau cuba dipecah masuk ketika ditinggalkan.
DASHCAM turut berkembang dengan pelbagai fungsi tambahan.“Pemilik boleh menyemak rakaman untuk mengetahui apa yang berlaku dalam tempoh kenderaan berada di kawasan parkir.
“Dalam keadaan tertentu, rakaman dashcam boleh menjadi penyelamat kepada pemandu yang menjadi mangsa tuduhan palsu jika ada pihak mendakwa kenderaan tertentu melanggar atau mengancam mereka,” katanya.
Pada masa sama, kewujudan kamera papan pemuka boleh mendorong pemandu supaya lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya.
Kesedaran bahawa ‘perjalanan sedang dirakam’ secara tidak langsung menggalakkan pengguna mematuhi peraturan lalu lintas dan mengamalkan pemanduan berhemah.
Bagaimanapun, dashcam bukan alasan untuk seseorang mengabaikan tanggungjawab keselamatan kerana pencegahan kemalangan tetap bergantung kepada sikap dan disiplin pemandu.
“Teknologi ini hanya boleh dijadikan sebagai alat sokongan, tetapi tidak semestinya kita perlu bergantung sepenuhnya tanpa sebarang tindakan.
“Kesedaran tentang keselamatan pemanduan di jalan raya juga penting.
“Meskipun penggunaan dashcam semakin berleluasa, namun pemandu tetap melakukan kesalahan dan mengabaikan keselamatan pengguna jalan raya lain,” ujarnya.
Dalam usaha mempertingkatkan peranti, teknologi dashcam juga semakin berkembang dengan kehadiran fungsi seperti rakaman definisi tinggi, pengesanan pergerakan, sistem kedudukan global (GPS), penglihatan malam dan kamera belakang.
Sesetengah model turut menawarkan ciri amaran pelanggaran atau pengesanan objek, mahupun pejalan kaki yang boleh menjadi amaran awal kepada pemandu.
Kesimpulannya, penggunaan dashcam bukan sekadar aksesori tambahan dalam kenderaan, sebaliknya boleh menjadi alat penting untuk melindungi pemandu ketika berdepan pelbagai kemungkinan di jalan raya.
Tanpa mengira sama ada kemalangan, jenayah atau kerosakan, rakaman visual dashcam secara tidak langsung mampu menjadi bukti yang dapat menjelaskan kejadian sebenar.

1 day ago
9




![[KEMASKINI] Bapa dan anak ditemui rentung berpelukan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-26-at-09.50.53-scaled.jpeg)








![[VIDEO] ‘Berjerebu teruk pagi tadi, petang Allah turunkan hujan’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/jerebu-hujan.jpeg)




















![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)














