Pelancong Malaysia takut masuk Thailand

3 hours ago 4

KOTA BHARU – Pergolakan di Selatan Thailand mula memberi kesan kepada ekonomi di Nara­thiwat, Yala dan Pattani apabila banyak bilik hotel dan tempahan kenderaan oleh pelancong Malaysia dibatalkan pada saat akhir.

Antara alasan yang diberikan termasuk risau dengan risiko ke­se­lamatan mereka selepas wi­layah itu dicemari dengan 51 insiden keganasan dalam tempoh dua jam pada malam Sabtu lalu.

Difahamkan, ada tempahan yang sudah dibuat sejak Jun dan Julai lalu untuk percutian ketika musim cuti persekolahan pada minggu hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bah­tera Kembara Holidays Sdn. Bhd., Muhammad Afiq Iqbal Mohd. Naz­ri, dia kerugian RM50,000 da­lam tempoh kurang seminggu apa­bila 300 tempahan pelancong da­ri Kelantan dan Terengganu pa­da 24 hingga 30 Ogos dibatalkan.

Katanya, dia sudah menjangkakan keadaan itu berlaku dan menerima keputusan itu dengan hati terbuka kerana pelancong mengambil kira perkembangan semasa di Selatan Thailand.

“Keselamatan mereka lebih pen­ting, namun pembatalan itu bukan sahaja menyebabkan saya kehilangan hasil jualan pakej, malah syarikat rugi apabila ada sebahagian pihak tidak memulangkan deposit.

“Tempahan bas bawa pelancong dari Rantau Panjang ke Hatyai batal. Ada pengusaha dan hotel yang pulangkan deposit dan ada yang hangus menyebabkan kami rugi RM50,000,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sabtu lalu Selatan Thailand kembali bergegar apabila kumpulan pemisah melancarkan 51 insiden keganasan merangkumi pengeboman, pembakaran pejabat dan kenderaan kerajaan, letupan menara telekomunikasi, rompakan, letupan kedai serbaneka serta pembakaran tayar.

Menurut Muhammad Afiq Iqbal, pakej penginapan dan pe­ngangkutan ke Hatyai berharga sekitar RM520 seorang manakala ke Bangkok pula RM1,700 seorang. Perjalanan berkumpulan ke Phuket turut dibatalkan ke­rana perlu melalui tiga wilayah bergolak.

Tambahnya, sebuah bas boleh membawa 40 pelancong melibatkan 300 pelanggan.

Kawasan Asean Night Bazaar di Hatyai yang selalunya penuh dengan pelancong Malaysia menjadi lengang ketika tinjauan Jumaat lalu.

Di Kangar, Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thailand-ASEAN, Aida Oujeh berkata, berlaku penundaan perjalanan sehingga 15 peratus untuk tiga wilayah itu.

Bagaimanapun katanya, pembatalan sangat ketara di Narathiwat, Pattani dan Yala, namun agak perlahan di wilayah Songkhla.

“Kita jangka seramai 30,000 hingga 50,000 pelancong Malaysia datang sepanjang musim cuti sekolah kali ini. Tetapi angkanya akan menurun kerana insiden keganasan.

“Isu boikot oleh penunggang motosikal belum lagi memberi kesan besar kepada tempahan penginapan. Hatyai dan Song­khla masih menjadi antara destinasi utama pilihan rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, pekerja agensi pelancongan dikenali sebagai Faizal berkata, kebanyakan penangguhan perjalanan dibuat untuk beberapa bulan akan datang.

“Ada pelanggan mahu bercuti ke Hatyai di wilayah Songkhla pada Ogos, September dan Oktober, namun menunda percutian mereka susulan kejadian pengeboman di selatan Thailand.

“Keadaan di wilayah Songkhla dan Satun yang bersempadan dengan Perlis tidak berdepan kekacauan, namun mereka tetap menunda perjalanan,” katanya.

Menurut Faizal, terdapat juga pelanggan yang memilih menangguhkan perjalanan sehingga tahun hadapan sehingga kea­daan kembali tenang.

“Bagi kami, jumlah pelanggan yang menunda jadual perjalanan tidak terlalu ramai, iaitu dalam lingkungan belasan orang sahaja.

“Ini memandangkan pakej yang kami tawarkan hanya melibatkan kawasan sekitar Hatyai selain pakej pelancongan dalam Perlis,” ujarnya.

Katanya lagi, pihak agensi tidak menghadapi masalah sekiranya pelanggan mahu menunda perjalanan atas faktor keselamatan kerana perkara itu boleh dibincangkan dan dijadualkan semula.

“Dari sudut perniagaan pula, ia tidak memberi impak besar kepada syarikat kerana pelanggan hanya bayar deposit manakala bayaran penuh dibuat selepas selesai trip,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |