LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta gembira melihat pasukan meneruskan rentak konsisten untuk mencengkam gelaran pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menang 2-0 ke atas Burnley di Turf Moor kelmarin.
Menariknya, The Gunners berjaya melakar kemenangan kelapan liga musim ini hasil jaringan Viktor Gyokeres dan Declan Rice selain turut mencatat rekod tujuh perlawanan berturut-turut tanpa bolos sejak menang 2-1 ke atas Newcastle United pada 28 September lalu.
Bagaimanapun, Arsenal yang kini baru tewas sekali daripada 15 perlawanan dalam semua kejohanan, terpaksa membayar harga mahal apabila Gyokeres mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan pada rehat separuh masa.
Bukan sahaja Gyokeres, tetapi Arsenal juga terpaksa mengeluarkan pemain tengah, Martin Zubimendi yang dilihat meminta untuk digantikan mungkin disebabkan masalah kecederaan.
Disebabkan itu, Arteta mengakui kemenangan tersebut sangat penting kerana bukan mudah untuk mana-mana pasukan mencuri mata daripada Burnley tetapi barisan pemain berjaya mengikut arahan taktikal yang diterapkan.
“Saya sangat teruja dapat meneruskan momentum kemenangan di sini selain menguasai perlawanan sejak minit pertama. Sepatutnya boleh meledak lebih banyak gol tetapi dua gol sudah cukup untuk memastikan tiga mata penting.
“Secara peribadi, kombinasi serta kesefahaman dalam kalangan pemain semakin utuh dan itulah kunci kejayaan kami musim ini. Harap mereka dapat teruskan rentak cemerlang pada aksi Liga Juara-Juara Eropah awal pagi Rabu nanti,” katanya.
Sementara itu, Arteta turut memuji peranan pemain pertahanan, Riccardo Calafiori yang semakin penting untuk memastikan pasukan tidak dibolosi tujuh perlawanan berturut-turut.
“Kelebihan Calafiori bukan sahaja ketika bertahan, dia juga membantu jentera serangan. Namun, pujian wajar diberikan kepada semua pemain kerana tanpa komitmen mereka, kita tidak boleh berada hingga tahap sekarang,” katanya. – AGENSI

3 days ago
12











![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)





































