Sindiket guna kurier edar dadah lebih RM201,000 ke luar Kelantan

22 hours ago 8

KOTA BHARU – Kegiatan sindiket pengedaran dadah untuk menghantar pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM201,000 menggunakan kurier ke beberapa negeri terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyerbu premis perkhidmatan tersebut di Kawasan Perindustrian Mara, Pengkalan Chepa di sini, kira-kira dua minggu lalu.

Serbuan dijalankan Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan JKDM Pengkalan Kubor selepas menerima maklumat daripada orang awam berkenaan kegiatan tersebut kira-kira pukul 4 petang pada 15 Julai lalu.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, semasa serbuan dijalankan, anggota bertugas menjumpai 14 bungkusan kotak pelbagai saiz yang berisi pelbagai jenis selepas pemeriksaan dijalankan.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, kesemua bungkusan itu mengandungi ketulan ganja mampat seberat 26 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM85,981, 1.1 kg bunga ganja (RM110,000), 10 biji pil kuda (RM100), 0.11 kg ketamin (RM5,500) dan 0.004 kg methylenedioxymethamphetamine atau MDMA (RM200).

“Pemeriksaan pada 14 bungkusan itu turut mendapati barangan tersebut dikirim oleh pengirim sama yang beralamat di Kota Bharu.

“Kesemua bungkusan itu akan dihantar menggunakan kurier ke Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Pahang, Kuala Lumpur, Johor dan Perlis. Selain itu, alamat pengirim dan penerima yang ditulis pada bungkusan tersebut juga tidak jelas lokasinya di negeri-negeri tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kota Bharu di sini hari ini.

Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, pemeriksaan lanjut turut mendapati, kesemua bungkusan yang tiada sebarang maklumat nombor telefon itu dibungkus dengan pembalut coklat dan gula-gula di dalam kotak.

Menurutnya, kesemua dadah tersebut dipercayai diseludup dari Thailand sebelum ia dibungkus oleh sindiket tersebut untuk diedarkan kepada pelanggan di luar Kelantan menggunakan kurier.

“JKDM Kelantan ketika ini menjalankan kerjasama dengan pihak kurier dalam usaha untuk mengekang kegiatan pengedaran menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Ini merupakan rampasan dadah pertama yang dijalankan oleh JKDM Kelantan di syarikat perkhidmatan kurier pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, suspek dalam kes tersebut masih dikesan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |