PETALING JAYA – Baru berusia 13 tahun, anak sulung pelakon Betty Banafe, Julia Claire Dargus meluahkan keletihan emosi selepas hampir lapan tahun berdepan konflik keluarga tanpa noktah penyelesaian.
Ujar Julia, situasi berpanjangan memberi kesan mendalam terhadap dirinya sehingga hanya mendambakan kehidupan lebih harmoni seperti keluarga lain.
“Berdasarkan video ibu saya sebelum ini, mungkin nampak seperti kami bertengkar. Namun, saya ingin jelaskan, langsung tiada niat untuk bersikap kurang ajar.
“Saya sudah penat dengan semua ini. Perkara berlaku bertahun-tahun dan masih belum selesai,” katanya dalam TikTok.
Menurutnya, dalam kelelahan mengharungi ujian, dia tetap bersyukur kerana memiliki ibu kuat serta sentiasa berada di sisi memberi sokongan.
“Saya hanya mahukan kehidupan harmoni dan tenang seperti keluarga lain.
“Saya bersyukur kerana mama sentiasa ada bersama saya,” ujarnya.
Dalam masa sama, Julia tidak menafikan kasih terhadap bapanya masih utuh meskipun dihimpit pelbagai konflik.
“Saya ingin tegaskan, apa saya mahukan hanyalah keharmonian.
“Kepada ayah, jika ayah melihat video ini, ayah tetap ayah saya,” luahnya.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan bekas suami Betty hadir ke kediaman bersama peguam bagi urusan melibatkan anak mereka sehingga mencetuskan perhatian ramai.
Sebelum ini, Betty turut mengakui emosi semakin teruji apabila konflik mahkamah bersama bekas suami berlarutan walaupun mereka telah lama berpisah.
Menurut Betty, tekanan turun naik mahkamah hampir setiap bulan memberi kesan terhadap ketenangan hidup serta masa depan anak-anak.
Untuk rekod, Betty mendirikan rumah tangga dengan Bruce Dargus pada 8 Disember 2012 sebelum berpisah pada 10 Julai 2019.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Julia Claire Dargus, 13, dan Bruce Dean Dargus, 10. – KOSMO! ONLINE.

14 hours ago
6
![[VIDEO] Tengah makan beg pelanggan kena ragut….](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/Tangkap-layar-memaparkan-hantaran-yang-dimuat-naik-oleh-Oriental-Kopi-di-laman-Instagram..jpeg)















































