Sambal Street tembus pasaran desa sehingga ke Arab Saudi

1 day ago 10

KUALA LUMPUR – Produk sambal desa Malaysia terus mengembang ke pentas dunia apabila program Sambal Street anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Felcra Berhad berjaya menembusi pasaran antarabangsa, termasuk Arab Saudi.

Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang berkata, sambal keluaran usahawan desa bukan sahaja mendapat sambutan tinggi di Malaysia, malah telah menembusi pasaran beberapa negara Asia seperti Singapura dan Brunei sebelum berjaya memasuki pasaran Timur Tengah.

“Sambal kita bukan sekadar berada di pasaran ASEAN, malah sudah sampai ke Arab Saudi.

Pasaran luar negara ini bukan semata-mata bergantung kepada MATRADE, sebaliknya turut digerakkan oleh inisiatif dan rangkaian perniagaan yang dibina sendiri oleh usahawan kita,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Sambal Street merupakan antara 42 program game changer KKDW tahun ini selaras dengan empat fokus utama kementerian iaitu pembangunan modal insan, keusahawanan, ekonomi dan reformasi birokrasi.

Program ini memfokuskan tujuh fasa pemerkasaan seperti pengukuhan komuniti usahawan sambal, peningkatan kapasiti pengeluaran, pemilikan sijil halal, selain strategi penjenamaan dan pemasaran di pasaran domestik serta antarabangsa.

Sebanyak 30 jenis produk sambal daripada 16 usahawan terpilih Felcra akan dipasarkan melalui lebih 90,000 rumah peserta Felcra, 800 stesen minyak, rangkaian Koperasi Peserta Rancangan Felcra, selain dieksport ke negara-negara ASEAN.

Turut diumumkan, penubuhan FRBC Consultancy & Services syarikat perunding halal yang dikemudi alumni Rural Business Challenge (RBC) 2016 dan kini menjadi pakar perunding halal Felcra.

Mereka berjaya mendapatkan pensijilan halal dalam masa hanya 30 hari, membuka laluan lebih luas untuk produk desa menembusi pasaran global.

Mengangkat slogan Produk Desa, Citarasa Dunia, Sambal Street bukan sekadar pelantar dagangan baharu, malah menjadi simbol kebangkitan ekonomi desa yang mengangkat cita rasa tradisi sebagai aset eksport berpotensi tinggi.

Program ini dijangka memberi impak besar kepada ekosistem keusahawanan luar bandar, sekali gus memperkukuh agenda reformasi ekonomi desa yang digerakkan KKDW. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |