Rinjani maut: Wajah Rennie sangat tenang, macam orang tidur

16 hours ago 1

JOHOR BAHRU – Wajah jenazah Rennie Abdul Ghani, 57, yang maut selepas terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia sangat tenang.

Detik indah itu dikongsikan pelakon, Riezman Khuzaimi saat membuka kain kafan yang membaluti tubuh abang iparnya, Rennie untuk dilihat kali terakhir ketika jenazah tiba di kediaman keluarga di D’Sierra Ville, Taman Sierra Perdana, Masai, di sini kira-kira pukul 3 pagi tadi.

Riezman atau nama sebenarnya, Mohd Rizman Mohd Khuzaimi, 55, berkata, wajah bapa tiga anak itu seperti orang sedang tidur.

“Alhamdulillah, urusan membawa jenazah keluar dari kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semuanya berjalan lancar, tiada kelewatan.

“Tadi bila jenazah sampai bawa pulang ke rumah sebab isteri Allahyarham nak tengok sangat wajahnya, kita buka kain kafan dan lihat wajahnya memang nampak macam orang tidur. Sangat tenang.

“Semua lega sebab kita menunggu jenazah dari hari Sabtu. Alhamdulillah, jenazah cukup sempurna,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah, Cahaya Masai di sini, hari ini.

Menurut Riezman, Allahyarham juga adalah seorang rakannya yang sama-sama berkongsi minat mendaki.

Katanya, sifat Rennie yang suka membantu orang, lebih-lebih lagi adik-beradik dan rakannya menjadikan kehilangan abang ipar yang baru ditemui semula enam tahun lalu, dirasai.

“Terlalu baik, arwah memang abang ipar saya dan sangat menjaga adik-beradiknya, walaupun isteri saya baru bertemu semula dengannya enam tahun lalu, selepas terpisah sejak kecil.

“Saya juga rakan pendaki, cuma kali ini (trip Gunung Rinjani) saya tidak dapat menyertai sebab kekangan kerja,” katanya.

Sementara itu anak sulungnya, Mohamad Akashah, 29, berkata, Gunung Rinjani merupakan gunung terakhir yang mahu didaki ayahnya dan berniat tidak mahu meneruskan pendakian selepas menawan gunung terbabit.

Katanya, bapa adalah seorang bapa yang sangat kuat bekerja, tegas dan bertanggungjawab.

“Ayah sudah mendaki semua gunung di Malaysia dan tidak mahu mendaki lagi selepas pergi ke Gunung Rinjani dan ayah sangat teruja untuk pergi ke sana.

“Kami sekeluarga sedih, tetapi reda kerana dia pergi dalam keadaan gembira sebab Gunung Rinjani adalah ‘wish list’ gunung yang terakhir hendak didakinya.

Beliau pada masa sama menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang membantu mempermudahkan urusan bagi membawa pulang jasad Allahyarham.

“Semua pihak sangat membantu dan melancarkan urusan perjalan pulang ayah, dari pihak Indonesia sehingga pulang ke tanah air. Alhamdulillah, perjalanan terakhir ayah berjalan lancar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |