Malaysia kekal berkecuali, tidak cenderung kepada sesiapa

17 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Posisi Malaysia adalah sebagai ‘middle power’ atau kuasa pertengahan sekali gus negara ini tidak boleh dilihat cenderung kepada mana-mana pihak.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hal ini kerana Malaysia merupakan negara perdagangan dengan ekonomi di sini banyak melibatkan aktiviti tersebut.

“Banyak untungnya bila dua negara ini (kuasa besar) bergaduh atau tidak bersama. Jadi orang kenal kepada kita, kita pastikan supaya Malaysia ini dapat dilihat sebagai sebuah negara yang boleh bercakap dengan mana-mana negara.

“Saya baru kembali daripada Mesyuarat Menteri Luar BRICS di Rio de Janeiro, Brazil dan kita memposisikan Malaysia yang mana kita tidak cenderung kepada sesiapa. Sebab itu kita tidak keluarkan apa-apa kenyataan tentang hal ini, kita tidak cakap apa-apa,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Penutup Latih Amal Keselamatan ASEAN-Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mohamad berkata, sewaktu di Rio de Janeiro, ia turut dihadiri oleh wakil Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bagi menilai pandangan dan kehendak negara-negara besar yang terlibat.

“Kita dengar dahulu apa yang mereka mahu, kemudian kita balik ke Malaysia untuk bincang dan siapkan cadangan balas. Kita tahu ‘wish list’ mereka. Kita tahu apa yang mereka mahukan daripada kita,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Amerika Syarikat ada menyuarakan kebimbangan terhadap lebihan perdagangan dengan Malaysia, meskipun negara rakan dagang ketika terbesar Malaysia selepas China dan Singapura.

“China mungkin rakan dagang terbesar, tetapi ia tidak memihak kepada kita. Tetapi AS, walaupun nombor tiga, perdagangan memihak kepada kita.

“Maka mereka mahu lihat sejauh mana kita boleh kurangkan defisit itu. Kita akan kaji bagaimana boleh beli lebih daripada mereka, dan mereka juga beli lebih daripada kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |