Sidang ASEAN: Pelajar dibenar PdPR, sektor swasta digalak WFH

15 hours ago 4

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengumumkan dalam masa terdekat senarai penuh sekolah-sekolah yang akan dibenarkan untuk melakukan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN pada akhir bulan ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sekolah-sekolah yang akan dikenal pasti oleh KPM itu antaranya berada sekitar lokasi atau pun laluan utama ke persidangan tersebut.

“KPM akan mengenal pasti sejumlah sekolah yang berada dalam kawasan laluan-laluan utama bagi sidang kemuncak (ASEAN).

“Senarai sekolah ini akan diumumkan dan para pelajar akan dibenarkan untuk melakukan PdPR. Senarai penuh akan diterbitkan oleh pihak KPM nanti,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.

Pada 15 Mac lalu, media melaporkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan diadakan pada 26 dan 27 Mei ini, manakala Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog bermula penghujung Oktober.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, sidang kemuncak ASEAN ke-46 pada 26 Mei akan melibatkan semua 10 pemimpin negara anggota ASEAN manakala mesyuarat pada 27 Mei akan melibatkan ketua-ketua negara ASEAN dengan ketua negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Dalam pada itu, Fahmi yang juga merupakan jurucakap kerajaan berkata, syarikat-syarikat swasta yang berpangkalan atau beribu pejabat di sekitar lokasi Sidang Kemuncak ASEAN 2025 digalakkan untuk membenarkan para pekerja mereka bekerja dari rumah (WFH).

“Kita juga telah membincangkan mengenai pekerja syarikat swasta yang mana Perdana Menteri menyatakan bahawa syarikat-syarikat swasta yang berpangkalan dan beribu pejabat di kawasan berlangsung sidang kemuncak digalakka membenarkan pekerja bekerja dari rumah bagi tempoh sidang kemuncak tersebut,” katanya.

Selain itu, Fahmi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan mengumumkan laluan-laluan utama yang akan digunakan oleh ketua kerajaan dan ketua negara yang bakal tiba bagi Sidang Kemuncak ASEAN.

Jelasnya, antara kawasan yang bakal terlibat termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) dan Pangkalan Tentera Udara Subang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |