Killer muda tak sabar gegar Piala Asia

15 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Bintang muda sepak takraw negara, Khairul Aman Mohd. Rosdi tekad membantu skuad regu kebangsaan menghadapi Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa bermula Sabtu ini.

Apit kanan kelahiran Terengganu berusia 22 tahun itu menganggap peluang pertamanya mewakili negara sebagai satu cabaran yang tidak akan disia-siakan.

“Alhamdulillah, ini panggilan pertama saya menyarung jersi kebangsaan ke Piala Asia. Saya memang terkejut dan saya terima cabaran ini dengan semangat tinggi.

“Ini adalah impian saya semenjak bermain dengan pasukan sepak takraw Terengganu dan akhirnya terpilih mewakili negara bersama pasukan regu di Piala Asia 2025 nanti,” katanya.

Khairul Aman bakal memperkuatkan skuad regu bersama Mohammad Syahir Mohd. Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (killer),Farhan Adam (apit kiri) dan Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong).

Biarpun bersama pasukan yang pernah membawa Malaysia muncul juara dunia, namun Khairul Aman mengakui status tersebut sedikit pun tidak menggusarkannya.

“Regu kita adalah juara dunia, jadi tekanan itu memang biasa. Tapi bagi saya, kita kena ambil tekanan, Insya-Allah saya akan sesuaikan diri dan bantu pasukan.

“Walaupun orang kata saya baharu, saya akan buktikan kita semua di tahap sama. Saya nak bantu regu negara lawan pasukan kuat lain dan harap beri impak kepada pasukan,” katanya.

Piala Asia 2025 dijadual berlangsung dari 10 hingga 18 Mei ini melibatkan penyertaan beberapa pasukan utama termasuk Thailand, Korea Selatan, Vietnam, Iran dan Jepun untuk bersaing dalam empat acara iaitu regu, kuadran, double dan regu berpasukan.

Bagi acara regu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Filipina, Nepal dan Singapura, manakala regu berpasukan menyaksikan skuad negara di Kumpulan B dengan Korea Selatan, Brunei serta Jepun.

Dalam acara kuadran, Malaysia bersama Filipina, Jepun dan China (Kumpulan B), manakala skuad negara akan berdepan Thailand, Taiwan serta Nepal dalam Kumpulan B acara double.

Read Entire Article
Pertanian | | | |