Pembangkang Perak seru penambahbaikan sistem wakaf negeri

18 hours ago 5

IPOH – Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini menyambut baik tindakan kerajaan negeri Perak dalam usaha membeli semula tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan di Alor Pongsu, Bagan Serai daripada pemiliknya menerusi kutipan solat Jumaat.

Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Razman Zakarian berkata, langkah itu merupakan salah satu manifestasi keprihatinan umat Islam terhadap maruah institusi masjid dan perpaduan umat Islam di negeri ini.

Bagaimanapun katanya, mereka mencadangkan agar inisiatif sumbangan itu diluaskan dengan penglibatan aktif oleh entiti seperti Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dan badan korporat Islam melalui sumbangan wakaf tunai sebagai solidariti bersama terhadap kepentingan wakaf.

“Sehubungan itu, sebagai penambahbaikan di dalam aspek perundangan dan tadbir urus wakaf, isu tersebut telah menzahirkan keperluan segera untuk meneliti semula sistem berkenaan selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Peruntukan undang-undang itu beliau berkata, adalah di dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 khususnya Bahagian VI Wakaf yang memperuntukkan bahawa semua harta wakaf adalah tertakluk kepada kawalan dan pengurusan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebagai pemegang amanah tunggal wakaf di Perak.

Razman berkata, Seksyen 78 dan 79 enakmen tersebut memperuntukkan bahawa sebarang pewakafan tanah dan harta hendaklah didaftarkan secara rasmi dan tidak boleh dipindah milik atau dijual tanpa kebenaran bertulis MAIPk.

“Sehubungan itu, kami mengesyorkan kerajaan melakukan pelaksanaan audit forensik menyeluruh terhadap semua aset wakaf di Perak bagi mengenal pasti harta wakaf yang belum didaftarkan, telah disalah urus atau berisiko dijual kepada pihak ketiga.

“Kedua, membangunkan satu Pangkalan Data Digital Harta Wakaf Negeri Perak yang komprehensif dan boleh diakses oleh pihak berkepentingan untuk tujuan pemantauan dan ketelusan,” katanya.

Seterusnya, beliau berkata, penggubalan dan penguatkuasaan Dasar Perlindungan Wakaf Negeri Perak, termasuk mekanisme pemantauan, pelaporan dan siasatan kesalahan jenayah syariah berkaitan wakaf.

“Keempat, meningkatkan kapasiti MAIPk dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dari segi perundangan, pemetaan harta serta latihan teknikal dalam pengurusan tanah dan dokumen pemilikan.

“Kami juga berpandangan agar diperkasakan lagi aspek pendidikan, kesedaran dan perundangan komuniti,” kata Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional Perak tersebut.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri Perak berhasrat menggunakan kutipan derma solat Jumaat pada minggu ini dan hadapan bagi membeli lot tanah wakaf yang dimiliki individu bukan Islam bernilai RM1.8 juta. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |