Rinjani maut: Jenazah Rennie selamat disemadikan

17 hours ago 2

JOHOR BAHRU – Jenazah Allahyarham Rennie Abdul Ghani, 57, yang maut selepas terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia selamat dikebumikan, pagi ini.

Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, di sini kira-kira pukul 7.20 pagi selepas disolatkan di Surau Raudhatul Jannah Sierra Perdana selepas subuh yang diimamkan anak sulungnya, Mohamad Akashah, 29.

Kira-kira lebih 100 jemaah terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara serta rakan Allahyarham hadir memberikan penghormatan terakhir serta mengiringi jenazah dari kediamannya hingga ke surau dan tanah perkuburan.

Terdahulu, jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar pukul 11 malam sebelum dibawa pulang ke kediamannya di D’Sierra Ville, di sini, kira-kira pukul 3 pagi.

Arwah meninggalkan seorang isteri, Mastura Tawap, 53, dan tiga orang anak iaitu seorang lelaki serta dua perempuan Syafaatul Amirah, 28 dan Anisa Sofea, 20.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, pasukan penyelamat berjaya membawa keluar arwah dari dasar gaung berkedalaman 80 meter di Gunung Rinjani sekitar pukul 10.30 pagi waktu tempatan.

Jenazah Rennie kemudian diusung keluar dari Gunung Rinjani kira-kira pukul 8.30 malam (waktu Malaysia) dan tiba di hospital sekitar pukul 11 malam.

Terdahulu, media melaporkan seorang rakyat Malaysia maut selepas terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani pada pukul 12 tengah hari waktu tempatan.

Mangsa dikatakan terlepas tali keselamatan menyebabkan dia tergelincir lalu terjatuh di laluan curam tersebut.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan pelbagai agensi membabitkan puluhan anggota Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Mataram, pasukan perubatan serta Unit Pencarian dan Pertolongan Lombok Timur.

Untuk rekod, laluan Torean di Gunung Rinjani dibuka secara rasmi pada tahun 2020 yang menawarkan pemandangan indah, namun lebih mencabar dan ekstrem berbanding Sembalun dan Senaru. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |