SEMENYIH – Isu kesesakan lalu lintas dihadapi penduduk Semenyih sejak sekian lama di sini, bakal diatasi menerusi Projek Jalan Pintasan Semenyih melibatkan laluan sepanjang 4.3 kilometer (km) menghubungkan pengguna ke Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).
Projek tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara KHK Land dan Kerajaan Persekutuan melibatkan empat lorong menghubungkan penduduk Semenyih ke lebuh raya tersebut, seterusnya enam lebuh raya utama yang lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan projek tersebut turut menyentuh isu tanah rizab Melayu yang mana ia diselesaikan secara baik oleh pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Selangor.
“Projek seperti ini kalau tak ada usaha tolak ansur untuk diselesaikan, sukar untuk ia berjalan sebab ia merempuh banyak kawasan. Ia juga menyentuh tanah rizab Melayu.
“Antara banyak dibangkitkan penduduk di sini adalah kesesakan. Seperti kita lalui tadi, kesesakan lalu lintas ini sampai tahap serius dan saya tahu Ahli Parlimen di sini memang banyak bangkitkan. Tentunya bila siap akan beri keselesaan kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih di Kampung Sungai Pening di sini hari ini.
Anwar berkata, Projek Jalan Pintasan Semenyih dilaksanakan secara penswastaan melalui kaedah pertukaran tanah milik Route Edge Sdn. Bhd.
“Dalam masa sama, kerja mengambil alih tanah persendirian, soal tanah rizab Melayu itu diganti dan dapat jaminan Kerajaan Negeri Selangor serta dibantu untuk dileraikan secara baik,” katanya.
Sementara itu, Anwar turut menyentuh perkuburan baharu bagi jenazah umat Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang akan dikebumikan di kawasan baharu di Semenyih dan ia diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk diuruskan.
“Sementara kita nak selesaikan tanah pembangunan, tanah kubur agak besar juga adalah memenuhi keperluan kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan menyediakan tanah perkuburan di Semenyih.
“Kematian yang meningkat juga menuntut kita segera menyediakan kemudahan ini. Unjuran jumlah kematian akan datang dianggarkan lebih 3,000 kematian setiap tahun,” katanya.
Katanya, kawasan perkuburan yang ada di Kuala Lumpur tidak dapat menampung keperluan jenazah umat Islam dianggarkan boleh digunakan sehingga maksimum empat tahun.
Tambah Anwar, perkuburan baharu di Semenyih menyediakan 100,000 tapak kubur untuk jenazah umat Islam dari Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

1 week ago
15



![[VIDEO] ‘Kenapa aku nampak kepala terbang’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-6.02.02-PM.jpeg)
![[VIDEO] Bergurau ketika solat, penghadang jatuh hempap budak hingga longlai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-5.58.44-PM.jpeg)



![[VIDEO] ‘Faizah…hiburkanlah saya’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-3.46.22-PM.jpeg)








































