PETALING JAYA – Permodalan Nasional Berhad (PNB) mencatatkan rekod agihan pendapatan dan bonus sebanyak RM14.5 bilion kepada pemegang unitnya bagi 18 dana Harga Tetap (FP) dan Harga Berubah (VP).
Pencapaian ini didorong oleh persekitaran makro ekonomi dan pasaran modal yang positif serta strategi kepelbagaian aset yang berterusan, dengan jumlah pendapatan bersih kumpulan PNB meningkat sebanyak 30.2 peratus daripada RM13.04 bilion pada tahun 2023 kepada RM16.97 bilion.
Pengerusi Kumpulan, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, PNB terus menjadi syarikat pengurusan aset pilihan utama yang dipercayai oleh semua rakyat dengan bilangan pemegang akaun unik dan jumlah akaun masing-masing meningkat ke paras tertinggi iaitu 13.1 juta dan 16.2 juta.
Jumlah AUM telah kembali pulih, mencecah RM348.3 bilion, meningkat daripada RM337.0 bilion pada tahun 2023.
“Kami berbesar hati dengan prestasi kukuh yang dicapai oleh PNB pada tahun 2024.
Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) telah mengagihkan dividen tertinggi,
memberi manfaat kepada semua rakyat dengan dana utama kami, Amanah
Saham Bumiputra (ASB), mengagihkan jumlah pendapatan sebanyak 5.75 sen, iaitu
yang tertinggi dalam tempoh lima tahun terakhir.
“Kesemua 18 dana FP dan VP kami telah mengatasi penanda aras masing-masing,
dengan 11 daripada 12 dana VP kami tersenarai di kuartil pertama atau kedua dalam
kumpulan setara mereka.
“Prestasi ini secara positif mencerminkan daya tahan jangka panjang PNB dalam merealisasikan matlamatnya untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentasi generasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan berhubung Laporan Bersepadu yang dikeluarkan PNB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (IR2024) yang bertujuan untuk menyediakan piawaian pelaporan dan asurans yangdipertingkatkan serta pendedahan ESG dan iklim yang lebih meluas, selaras dengan komitmen terhadap ketelusan, penciptaan nilai lestari, dan penjajaran kepada amalan terbaik global.
Selain itu, menuju ke tahun 2025, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB,
Datuk Abdul Rahman Ahmad menjelaskan, memandangkan perkembangan geopolitik
terkini dan perubahan asas dalam dasar perdagangan Amerika Syarikat, Kumpulan
mengambil maklum dan perlu bersikap realistik mengenai keadaan
makro ekonomi dan pasaran modal yang akan menjadi semakin tidak menentu dan
berisiko tinggi pada tahun hadapan.
“Bagi menghadapi cabaran ini, PNB akan terus teguh melaksanakan inisiatif strategik merentasi enam teras yang telah kami bangunkan di bawah pelan strategik kami.”
“Fokus kami kekal untuk melestarikan prestasi dana-dana kami melalui strategi
kepelbagaian aset yang berterusan, selaras dengan komitmen kami untuk
memberikan pulangan yang konsisten dan berdaya saing kepada pemegang unit
kami.”
“Cabaran yang lebih mendesak kini adalah untuk menggalakkan rakyat
menabung lebih banyak dan melabur bersama ASNB memandangkan perubahan
tabiat perbelanjaan, ditambah pula dengan tekanan terhadap pendapatan boleh guna
bersih, telah mengurangkan kecenderungan rakyat untuk menabung secara
sukarela berbanding lima atau sepuluh tahun lalu.
Namun begitu, kami optimis bahawa kami dapat mengatasi perkara ini dengan memperkukuhkan keupayaan jualan dan pengedaran, disokong oleh inovasi produk, program literasikewangan, serta peluasan platform pengedaran,” tambah beliau lagi. -KOSMO!ONLINE