Pemasangan 385 lampu solar di JRTB dijangka siap September depan

21 hours ago 7

GERIK – Pemasangan 385 unit lampu solar di laluan FT004 Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang menghubungkan Gerik ke Jeli, Kelantan dijangka siap sepenuhnya pada September depan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Zamri Mat Kasim berkata, seramai sembilan kontraktor telah dilantik bagi melaksanakan kerja-kerja pemasangan yang bermula 23 Jun lalu.

Katanya, projek membabitkan kos berjumlah RM3.32 juta itu melibatkan pemasangan lampu diod pemancar cahaya (LED) sepanjang 9.5 kilometer.

“Pemasangan lampu solar ini melibatkan beberapa lokasi di antara Seksyen 83.74 hingga Seksyen 198.60 dengan kemajuan projek antara 25 hingga 50 peratus.

“Antara kerja-kerja yang sedang dijalankan ialah penandaan tapak dan kerja-kerja tanam tapak konkrit. Projek ini masih berjalan dan dijangka mengambil masa kira-kira 12 minggu untuk disiapkan sepenuhnya,” katanya di sini hari ini.

Katanya, selain pemasangan lampu solar, projek itu turut membabitkan penyelenggaraan lampu isyarat yang rosak di Seksyen 120.40.

“Pihak kontraktor sedang menunggu barang daripada pembekal untuk memulakan kerja-kerja di tapak selain melakukan pengukuran dan penelitian semula di lokasi tersebut,” katanya.

Menerusi laporan media pada 10 Jun lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, lokasi kemalangan di Kilometer 53, JRTB Jeli-Gerik yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu merupakan antara seksyen JRTB yang akan dinaik taraf pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.

Menurut beliau, pelbagai inisiatif telah diambil sejak 2023 bagi menambah baik laluan Gerik-Jeli, khususnya di Jalan Persekutuan FT004.

“Pada Jun 2023, peruntukan sebanyak RM30 juta diluluskan untuk membina semula sebahagian laluan di JRTB dan dua bulan selepas itu, tambahan peruntukan sebanyak RM30 juta lagi diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Peruntukan itu telah digunakan bagi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan di beberapa seksyen kritikal FT004,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |