Pemandu mabuk mengaku tidak salah rempuh palang Istana Negara

1 week ago 22

KUALA LUMPUR – Seorang penuntut universiti swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga merempuh palang keselamatan Istana Negara, awal pagi tadi.

Tertuduh M. Kajen, 22, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang telah memandu kereta jenis Toyota Vios dengan kandungan alkohol dalam badan ialah 166 milligram (mg) per 100 mililiter darah, iaitu melebihi had dibenarkan.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3.50 pagi, hari ini di Pintu 2, Istana Negara, di Jalan Changkat Semantan, di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun serta hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Shazwan Hasifi Shahrun mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh merayu agar diberikan jumlah jaminan yang rendah memandangkan anak guamnya masih menyambung pengajian dalam peringkat ijazah.

“Anak guam saya merupakan anak tunggal dan bukan berasal daripada keluarga berpendapatan tinggi. Jadi, saya merayu tertuduh dikenakan jumlah jaminan paling minimum kerana dia juga memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 26 Februari depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Awal pagi tadi, polis menahan seorang pemandu mabuk dari arah Bukit Damansara kerana merempuh palang keselamatan di Pintu 2, Istana Negara.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan akibat kemalangan tersebut dan hanya melibatkan kerosakan pada bahagian depan kereta dan palang keselamatan di pintu istana itu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |