KAJANG – Empat pelajar lelaki berusia 13 tahun ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kejadian memukul rakan sekelas mereka di sebuah pusat beli-belah di Bandar Kajang yang videonya tular baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pelajar lelaki yang juga mangsa kira-kira pukul 12.57 tengah hari, semalam.
“Pengadu memaklumkan telah ditumbuk dan ditampar oleh dua pelajar lain yang turut berpakaian seragam sekolah ketika berada di pusat beli-belah terbabit sehari sebelum laporan dibuat.
“Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi ketika pengadu bersama rakan-rakan sekolahnya ke lokasi berkenaan dan dipanggil berbincang mengenai ketidakpuasan hati rakan sekelas terhadap sikap pengadu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kejadian tersebut turut dirakam dua lagi pelajar yang berada di lokasi sama menggunakan telefon bimbit dan tular di media sosial.
“Pengadu telah mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka,” katanya.
Tambah Naazron, keempat-empat suspek ditahan sekitar Bandar Kajang pada malam hari yang sama dan kini direman selama dua hari hingga esok ini untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali bagi Seksyen 323. Bagi Seksyen 506, hukuman boleh mencecah penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Sementara itu, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 memperuntukkan denda maksimum RM100,” katanya.
Naazron turut mengingatkan semua pelajar agar tidak terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan masa depan mereka dan mematuhi undang-undang serta peraturan sekolah.
“Polis memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan pelanggaran undang-undang,” jelasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Shahrulhasram Ramli di talian 017-2530380 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE