PETALING JAYA – Sebanyak 10 syarikat disyaki terbabit kegiatan penipuan pelaburan dikenal pasti menggunakan akaun bank bagi tujuan penyelewengan, dengan 111 laporan polis direkodkan dalam pangkalan data Semakmule CCID dalam tempoh sebulan sehingga 15 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata senarai berkenaan didahului oleh JMC (M) Trading Venture dan JMC Top Trading yang mencatatkan 20 laporan polis.
Menurut beliau, sebanyak 16 laporan polis pula diterima terhadap CVC Grow Star Sdn. Bhd., diikuti KGI HK Sdn. Bhd. dengan 15 laporan.
“Turut tersenarai ialah Luluk Sempurna Renovation Sdn. Bhd. dan Rosnitah Mewah Trading Sdn. Bhd. masing-masing dengan 13 laporan, Aura Evergreen Management Sdn. Bhd. serta Aura Evergreen Premier Sdn. Bhd. sebanyak 12 laporan, manakala Titan Union Trading Sdn. Bhd. dan WWF Global Enterprise masing-masing 11 laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata, orang ramai diharap tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat, kerana ia merupakan antara ciri utama skim pelaburan tidak wujud.
“Orang ramai digalakkan membuat semakan melalui portal Semakmule CCID sebelum melakukan sebarang transaksi, termasuk menyemak nombor akaun bank, nombor telefon dan nama syarikat,” katanya.
Beliau berkata, status pendaftaran sesebuah syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat bukan jaminan keselamatan kerana ada yang disalahgunakan sebagai akaun keldai.
Katanya, antara petunjuk pelaburan mencurigakan ialah janji keuntungan luar biasa, penggunaan aplikasi yang dimuat turun melalui pautan pihak ketiga serta arahan memindahkan wang ke akaun berbeza yang bukan akaun rasmi platform pelaburan.
“Senarai syarikat atau akaun yang mempunyai laporan polis boleh disemak dalam pangkalan data Semakmule CCID.
“Orang ramai juga disaran menyemak Investor Alert List yang dikemas kini oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia melalui laman sesawang rasmi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 week ago
14



![[VIDEO] ‘Kenapa aku nampak kepala terbang’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-6.02.02-PM.jpeg)
![[VIDEO] Bergurau ketika solat, penghadang jatuh hempap budak hingga longlai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-5.58.44-PM.jpeg)



![[VIDEO] ‘Faizah…hiburkanlah saya’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-3.46.22-PM.jpeg)








































