Pekebun tidak sempat jual durian ditanam secara haram

22 hours ago 9

RAUB – Seorang pekebun durian berputih mata apabila tidak sempat meraih keuntungan menjual durian musang king dan D24 yang ditanam secara haram di Hutan Simpan Gunung Benum di sini selepas ditahan pihak berkuasa semalam.

Lelaki berusia 48 tahun yang memandu trak pikap dengan membawa 919 kilogram durian jenis musang king dan D24 bernilai kira-kira RM5,000 itu ditahan pihak berkuasa yang melakukan rondaan kira-kira pukul 7 pagi.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Zainuddin Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati pokok durian berkenaan berada dalam Kompartmen 91 Hutan Simpan Gunung Benum dan dipercayai untuk pasaran tempatan.

Katanya, jabatan bertindak tegas dengan menyita kenderaan termasuk durian sebelum tindakan seterusnya dilakukan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh hutan simpan.

“Lelaki yang ditahan itu kemudian dibebaskan apabila mendapat jaminan polis selepas keterangan diambil.

“Pegawai penyiasat JPNP akan melakukan siasatan seterusnya sebelum tindakan undang-undang diambil kerana mengeluarkan hasil hutan (durian) tanpa kebenaran,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, Hutan Simpan Gunung Benum menjadi kawasan tanaman durian termasuk pokok buah-buahan seperti manggis, rambutan serta petai dan kantan secara haram.

Dalam pada itu Zainuddin berkata, pihaknya melakukan operasi sejak 21 Julai lalu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Pasukan Gerakan Am (PGA), Rela serta Pejabat Daerah dan Tanah Raub dilancarkan.

Beliau memberitahu, lebih 40 kakitangan JPNP yang bergabung dengan agensi terbabit dalam operasi bersepadu kali ini menumpukan rondaan dan tindakan di Hutan Simpan Gunung Benum yang dilakukan secara berterusan selama 60 hari.

Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan individu yang terbabit dengan penerokaan Hutan Simpan Gunung Benum secara haram dan mereka yang bersalah boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana menceroboh.

“Jabatan berharap mereka yang tinggal berhampiran hutan simpan di negeri ini supaya tidak memindah hasil hutan dan melakukan apa juga aktiviti dalam kawasan hutan terbabit bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

“Anggota unit penguatkuasa pejabat hutan daerah sentiasa melakukan rondaan di kawasan panas dalam kawasan hutan simpan di negeri ini, selain melakukan aktiviti pertanian terdapat juga pihak yang beriadah. Untuk masuk ke dalam hutan simpan memerlukan permit atau kebenaran jabatan,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |