PETALING JAYA – Kunjungan santai seorang wanita ke kedai buku popular di ibu negara bertukar menjadi detik yang tidak disangka-sangka apabila terserempak dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Menerusi satu hantaran tular di akaun Thread @SuzilahZainuddin, wanita tersebut berkata pada mulanya beliau langsung tidak menyedari kehadiran baginda sebelum suaminya menegur tentang perkara itu.
Menurutnya, beliau bersama rakannya pada awalnya berdebar untuk menegur kerana bimbang tidak tahu adab yang sesuai sama ada perlu menyapa dengan protokol rasmi atau terus meminta gambar.
Bagaimanapun, selepas beberapa kali lalu-lalang di sekitar lokasi, wanita itu akhirnya memberanikan diri bertanya kepada pengiring keselamatan sama ada dibenarkan untuk bergambar.
“Aku pun tanya dekat pengawal peribadi, ‘Boleh ambilkan gambar tak?’ Dia cakap boleh. Lepas itu aku pun tegur Sultan Perak ‘Ampun tuanku, nak amik gambar boleh tak?’
“Tuanku jawab boleh-boleh. Dari mana ni? Aku jawab Kuala Selangor. Baginda tanya lagi cuti ke?, aku jawab ‘haa yaa’,” tulisnya.
Wanita itu berkata pengawal peribadi kemudian membantu mengambil beberapa keping gambar mereka bersama baginda sebelum mereka mengucapkan terima kasih.
Wanita itu mengakui pengalaman tersebut membuatkan beliau gembira bukan sahaja kerana dapat bergambar dengan Sultan Perak, malah kerana berjaya ‘memecah ketakutan’ untuk menegur individu berprofil tinggi.
Sementara itu, ruangan komen turut dibanjiri reaksi orang ramai yang berkongsi pengalaman sama, malah ada yang menyifatkan kedai buku popular itu sebagai ‘port’ baginda sejak sekian lama.
Seorang pengguna, Hashim turut berkongsi gambar dirinya bersama Sultan Nazrin yang merupakan rakaman pada tahun 2014 di lokasi yang sama, sambil menyifatkan baginda sebagai pencinta ilmu.
“2014, lokasi yang sama.. Tuanku memang pencinta buku dan ilmu,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, Aishah, pula berkata baginda memang dikenali gemar membaca berjam-jam di situ dan keadaan itu tidak berubah sejak 10 hingga 15 tahun lalu.
“Raja Nazrin mmg suka duduk dekat situ, baca buku berjam-jam.. keadaan masih belum berubah.. bangga jap jadi anak Perak,” katanya.
Ummie turut berkongsi pernah dua kali terserempak dengan baginda di kedai buku berkenaan, namun tidak pernah berpeluang bergambar.
“Pernah dua kali terserempak dengan Sultan Nazrin dekat kedai buku ni.. tapi tak pernah tangkap gambar lah,” tulisnya.- KOSMO! ONLINE

1 month ago
28

















































