PETALING JAYA – Bas persiaran yang terlibat kemalangan maut di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (Jeli–Gerik), Perak tahun lalu didapati beroperasi secara tidak sah sekali gus menjejaskan akauntabiliti dan keselamatan operasi.
Menurut Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan, siasatan mendapati syarikat yang mengendali tidak memiliki lesen atau permit sah untuk operasi bas persiaran di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
“Kenderaan ini beroperasi menggunakan permit yang didaftarkan atas nama Kenari Utara Travel & Tours Sdn. Bhd., pemegang lesen sah pengendali bas.
“Penggunaan permit oleh pihak ketiga tanpa kelulusan merupakan pemajakan lesen kenderaan perdagangan, yang melanggar Seksyen 49 (1) Akta 715 dan menjejaskan akauntabiliti operasi pengangkutan,” katanya.
Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD termasuk pembatalan lesen Kenari Utara Travel & Tours pada 13 Jun tahun lepas.
Secara keseluruhan, laporan itu memaklumkan, pemajakan lesen kenderaan perdagangan oleh pihak tidak berlesen menimbulkan risiko keselamatan operasi dan mencerminkan kelemahan dalam penguatkuasaan.
Selain itu, penyalahgunaan sistem pengecualian pemandu pelancong di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menonjolkan kelemahan dalam pengesahan permohonan serta potensi eksploitasi sistem oleh pengendali tidak berlesen.
“Kedua-dua isu ini menekankan kepentingan pematuhan, verifikasi yang berkesan, dan tadbir urus yang lebih kukuh bagi memastikan keselamatan dan integriti industri pengangkutan pelancongan,” ujarnya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seramai 15 maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza pada 9 Jun tahun lalu.
Difahamkan, ketika kejadian bas tersebut dalam perjalanan pulang ke kampus UPSI Tanjung Malim dari Jerteh, Terengganu. – KOSMO! ONLINE

1 week ago
17



![[VIDEO] ‘Kenapa aku nampak kepala terbang’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-6.02.02-PM.jpeg)
![[VIDEO] Bergurau ketika solat, penghadang jatuh hempap budak hingga longlai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-5.58.44-PM.jpeg)



![[VIDEO] ‘Faizah…hiburkanlah saya’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-3.46.22-PM.jpeg)








































