‘Mangsa love scam tolong buat laporan polis, itu penyamar’

20 hours ago 17

PETALING JAYA – Identiti dicuri penyamar, penyanyi Hafiz Hamidun mengingatkan orang ramai agar jangan terpedaya dengan taktik licik ‘love scam’ yang menjerat mangsa bermodalkan janji manis.

Hafiz, 42, berkata, bukan hanya dirinya, paling membuatkannya marah apabila wajah anak serta ahli keluarga lain turut dijadikan umpan akaun palsu di TikTok, Facebook dan Instagram bagi meyakinkan mangsa sehingga ada yang kerugian wang dalam jumlah besar.

“Kenapalah anda semua sampai memberikan nombor WhatsApp kemudian berkomunikasi dengan orang-orang itu sehingga sudah tertipu dan kehilangan wang yang banyak?

“Selepas ambil nombor telefon, dia akan bercakap perkara manis. Kadang-kadang bahasanya pun bukan seperti bahasa saya sebagai orang Malaysia, bukan Bahasa Melayu.

“Dia buatkan anda jatuh cinta, kemudian anda jadi mangsa ‘love scam’,” ujarnya

Menurutnya lagi, setiap hari dia menerima terlalu banyak aduan termasuk yang ‘terkena’ dari negara jiran.

“Ramai yang sudah terkena, terlalu ramai, terutama dari Indonesia. Saya harap anda semua yang sudah terkena dengan akaun palsu seperti ini, tolong lakukan sesuatu.

“Laporkan akaun itu, sekat dan jangan layan,” ujarnya.

Dalam video sama, Hafiz turut menasihatkan pengguna media sosial agar memastikan akaun itu mempunyai tanda pengesahan (verified) dan menggunakan nama sebenar ‘Hafiz Hamidun’.

“Selain itu, elakkan berkomunikasi dengan orang tidak dikenali, terutama jika diminta berpindah ke aplikasi WhatsApp.

“Jika sudah kehilangan wang, segera buat laporan polis dan maklumkan perbezaan antara akaun palsu dengan akaun sebenar,” katanya.

Dia turut memohon maaf kerana tidak dapat membantu dari segi pampasan kewangan malah bukan jenis individu yang mempunyai masa untuk berhubung secara peribadi dengan orang tidak dikenali tanpa sebab.

“Tolonglah, dalam talian jangan percaya perkara bukan-bukan. Saya banyak kerja dan tiada masa untuk dibazirkan dengan berjumpa atau berhubung melalui WhatsApp dengan orang tak dikenali,” tuturnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |