Malaysia tidak boleh selesa dengan prestasi ekonomi semasa – Anwar

5 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak terlalu selesa dengan prestasi ekonomi negara ketika ini meskipun angka makroekonomi menunjukkan perkembangan yang meyakinkan.

Beliau berkata, budaya terlalu berpuas hati atau ‘culture of contentment’ boleh menjadi penyakit yang menjejaskan masyarakat, golongan elit, kerajaan dan sektor korporat.

Menurutnya, Kerajaan Madani juga tidak menganggap mereka memiliki semua jawapan terhadap setiap masalah yang dihadapi negara.

“Angka makroekonomi ketika ini agak meyakinkan dan pengumuman terkini Bank Negara lebih positif berbanding unjuran awal kita.

“Namun ini bukan alasan untuk kita menjadi leka kerana budaya terlalu selesa boleh menjejaskan masyarakat, elit, kerajaan dan juga sektor korporat,” katanya semasa Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 12 di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara hari ini.

Anwar berkata, kerajaan sentiasa membuka ruang perbincangan secara lebih bebas menerusi siri forum tersebut bagi membolehkan pelbagai pandangan diketengahkan.

Katanya, sesi itu bukan sekadar platform mempertahankan dasar kerajaan, sebaliknya bertujuan menambah baik polisi sedia ada melalui pandangan pelbagai pihak termasuk sektor swasta.

“Kami dalam Kerajaan Madani tidak menganggap bahawa kami mempunyai semua jawapan bagi masalah yang dihadapi.

“Sebab itu kita buka perbincangan ini supaya ia dapat membantu kita bersama dalam memantapkan dasar yang boleh diubah suai,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan laporan Khazanah Research Institute (KRI) yang mendapati hanya enam peratus golongan bawahan menikmati manfaat projek pembiayaan mikro meskipun ratusan juta ringgit diperuntukkan.

Katanya, perkara itu menunjukkan masih wujud jurang antara dasar yang dirangka dengan realiti sebenar rakyat di peringkat akar umbi.

“Daripada laporan KRI bulan lalu, ia agak mengejutkan kerana daripada ratusan juta projek pembiayaan mikro, hanya enam peratus penerima daripada kumpulan bawahan.

“Jadi ada jurang antara apa yang diumumkan dengan apa yang dialami rakyat biasa,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan perlu terus memberi tumpuan terhadap isu makroekonomi tanpa mengabaikan keperluan rakyat biasa termasuk di kampung dan gerai kecil. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |