SEKTOR perindustrian Malaysia sedang memasuki fasa penting apabila automasi, kecerdasan buatan dan amalan lestari menjadi pemacu utama kepada daya saing.
Selangor, negeri paling maju dalam sektor pembuatan negara, akan menerajui usaha ini melalui Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 yang akan berlangsung pada 11 dan 12 November ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Acara ini menghimpunkan pemimpin industri antarabangsa dan tempatan, pakar teknologi, pelabur serta pembuat dasar bagi membincangkan strategi praktikal untuk memperkukuh ekosistem pembuatan negara.
Daripada pendigitalan kilang kepada pembangunan tenaga kerja dan penyelesaian industri hijau, ia bertujuan membantu perniagaan Malaysia meningkatkan kemampuan dan bersaing di peringkat serantau.
Antara tumpuan utama program ini ialah ucaptama oleh Prof. Henrik von Scheel, tokoh antarabangsa yang diiktiraf sebagai pencetus Revolusi Industri 4.0.
Arkitek utama kepada revolusi pendigitalan di Eropah, Prof. Henrik von Scheel dijadualkan menyampaikan ucaptama Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025.Beliau akan berkongsi pandangan mengenai perubahan global yang dijangka membentuk masa depan industri dalam tempoh sedekad akan datang serta bagaimana organisasi boleh bersedia dari segi produktiviti, kemahiran dan pengenalan teknologi baharu.
Sidang ini turut menampilkan pengamal industri yang akan berkongsi kajian kes sebenar dan panduan mengenai pembuatan pintar, automasi, sistem data dan pembangunan bakat.
Antara penceramah yang dijadualkan hadir ialah John Broadbent dari Smart Manufacturing Group Australia, Bob Gill dari ARC Advisory Group Asia Tenggara dan Dr. Michael Tay dari Siemens Malaysia.
Sepanjang dua hari penganjuran, peserta akan menghadiri sesi dan perbincangan berkaitan robotik, kembar digital, kecerdasan buatan, pengeluaran rendah karbon dan latihan tenaga kerja masa depan.
Program ini dirangka untuk pemilik perniagaan, eksekutif kanan, jurutera dan profesional yang ingin meningkatkan keupayaan industri serta menjalinkan kerjasama teknologi.
Sidang ini dianjurkan bersama Hannover Fairs Asia-Pacific di bawah Deutsche Messe, penganjur Hannover Messe, acara teknologi perindustrian terbesar di dunia. Kerjasama ini membawa kepakaran antarabangsa serta amalan global terbaik terus ke pasaran Malaysia.
Menurut Pengarah Urusan Hannover Fairs Asia-Pacific dan Australia, Tim Bostridge, kerjasama ini akan membantu syarikat Malaysia mempercepat penerimagunaan teknologi.
“Sidang ini memberi peluang kepada peneraju industri untuk melihat arah teknologi global, memahami amalan terbaik dan membentuk kerjasama untuk memperkukuh keupayaan perniagaan,” katanya
Bagi Kerajaan Negeri Selangor, sidang ini melengkapkan usaha berterusan untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai nadi industri Malaysia. Selangor menyumbang hampir 26 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan menempatkan pusat industri dan logistik utama seperti Shah Alam, Klang, Subang Jaya, Sepang dan Cyberjaya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari komited untuk membina ekosistem inklusif dan berdaya saing melalui penerimagunaan teknologi.Melalui strategi di bawah Pelan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), iaitu pelan pembangunan lima tahun yang berakhir tahun ini, serta program pembangunan bakat seperti Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS), Selangor memberi tumpuan kepada pembinaan tenaga kerja mahir yang bersedia menghadapi masa depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa sidang ini mencerminkan visi jangka panjang negeri untuk membangunkan ekonomi industri yang berdaya tahan dan inovatif.
“Selangor komited untuk membina ekosistem inklusif dan berdaya saing melalui penerimagunaan teknologi, kelestarian dan modal insan berkemahiran,” katanya.
Penyertaan dibuka untuk pemimpin industri, profesional dan usahawan yang ingin meneroka peluang baharu dalam sektor pembuatan dan teknologi. Nikmati potongan 50 peratus untuk pendaftaran awal. Tempat adalah terhad. – KOSMO! ONLINE

2 days ago
14











![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)





































