Lonjakan harga RON95, RON97 naik 60 sen, diesel naik 80 sen seliter

5 hours ago 2

PETALING JAYA – Konflik perang di Asia Barat mula memberikan kesan kepada bahan api di Malaysia selepas kerajaan mengumumkan lonjakan kenaikan harga pam RON95 dan RON97 masing-masing sebanyak 60 sen, manakala diesel di Semenanjung dinaikkan 80 sen seliter.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, walaupun harga bahan api akan diselaraskan bagi mencerminkan pergerakan harga minyak di pasaran global, kerajaan akan terus menanggung sebahagian subsidi bagi meredakan kesan kenaikan harga pasaran kepada rakyat.

Menurutnya, meskipun harga pam petrol RON95 dan diesel meningkat, harga RON95 di bawah inisiatif BUDI95 kekal RM1.99 seliter, manakala penerima bantuan tunai Budi Diesel dinaikkan kepada RM300 sebulan bagi tempoh interim.

Jelasnya, Kerajaan Madani akan terus melindungi rakyat Malaysia melalui inisiatif subsidi bersasar Budi Madani serta bantuan tunai tambahan, tatkala pasaran minyak global terus berdepan ketidaktentuan.

“Kenaikan harga bahan api ini berlaku susulan lonjakan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat berikutan serangan ke atas Iran. Isnin lalu, harga minyak Brent telah mencecah US$119 (RM466) setong sebelum kembali turun ke sekitar US$90 (RM352.48) setong, namun keadaan pasaran kekal tidak menentu.

“Sehubungan itu, harga pam RON95 dan RON97 dinaikkan sebanyak 60 sen seliter, manakala harga pam diesel di Semenanjung dinaikkan sebanyak 80 sen seliter,” katanya malam tadi.

Katanya, harga runcit bahan api bagi tempoh 12 Mac hingga 18 Mac 2026 bagi RON97 adalah RM3.85 seliter (harga 11 Mac 2026: RM3.25 seliter); RON95 tanpa subsidi RM3.27 seliter (harga 11 Mac 2026: RM2.67 seliter) dan diesel (Semenanjung) RM3.92 seliter (harga 11 Mac 2026: RM3.12 seliter).

Dalam pada itu, katanya, bagi melindungi rakyat daripada impak kenaikan harga pasaran produk petroleum, kerajaan akan mengekalkan harga bersubsidi RON95 untuk rakyat pada harga RM1.99 seliter melalui BUDI95

Selain itu, katanya, kerajaan mengekalkan harga bersubsidi diesel untuk rakyat di Sabah dan Sarawak pada harga RM2.15 seliter serta mengekalkan harga bersubsidi diesel untuk sektor pengangkutan darat awam dan barangan di Semenanjung Malaysia pada harga RM1.88 dan RM2.15 seliter masing-masing.

“Kerajaan juga akan menaikkan bantuan tunai bagi tempoh interim kepada pengguna kenderaan diesel yang layak dibawah BUDI Diesel Individu dan Budi Diesel Agri-Komoditi daripada RM200 kepada RM300 untuk bulan Mac 2026.

“Pembayaran tambahan RM100 akan dibuat mulai 17 Mac 2026. Pada masa yang sama, usaha penguatkuasaan akan dipertingkat bagi membendung ketirisan serta mencegah penyalahgunaan bahan api bersubsidi, memandangkan harga bahan api di Malaysia masih kekal lebih rendah berbanding negara jiran,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |