Liga amatur dijangka lebih ‘meriah’

14 hours ago 3

BUKAN sesuatu yang mengejutkan sekiranya liga bertaraf amatur di negara ini akan mendapat sambutan luar biasa selepas wujudnya lambakan pemain ekoran beberapa isu hutang gaji yang menghimpit kelab di pertandingan utama.

Berita penarikan diri Perak FC juga memberi gambaran bahawa bakal berlaku lebihan pemain, malah status dua lagi pasukan, Sri Pahang dan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) juga kekal menjadi tanda tanya, sama ada kekal di Liga Super atau sebaliknya.

Malah, ketika ini juga Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) belum dapat memberi pengesahan jumlah pasukan yang akan mengambil bahagian musim depan memandangkan First Instance Body (FIB) melanjutkan tarikh akhir permohonan Lesen Kebangsaan sehingga Sabtu ini.

“Saya sudah cakap lama perkara ini, tetapi orang tidak ambil pusing. Untuk jadi lebih baik, kenapa tidak kita cuba berundur selangkah untuk bina balik liga profesional. Jepun pun pernah lakukan sebelum ini dan kita lihat dimana Jepun sekarang.

“Saya bagi idea ini bukan bermaksud untuk perlekeh, tetapi kita perlu buat sesuatu untuk betulkan bola sepak negara. Mungkin esok liga semi pro pun akan dapat penyertaan banyak pasukan.

“Sebab itu saya anggap keputusan tepat jika pemain cari kerja lain, andai kata masih berlaku tunggakan bayaran, sekurang-kurangnya pemain sudah ada kerja tetap,” kata bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail.

Pengerusi Bola Sepak Amatur (AFL), Datuk Wira Yusoff Mahadi pernah menyasarkan Liga A1 Semi Pro yang kini berperanan sebagai divisyen kedua bola sepak domestik perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 12 pasukan.

“Pengurusan tertinggi pun jangan pula ikut saja permintaan gaji oleh pemain. Setiap kelab kena ada jawatankuasa teknikal untuk menilai tahap dan nilai semasa pemain, bukannya sekadar bagi saja apa yang diminta,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |