PETALING JAYA – Hanya kerana tidak mahu membazirkan makanan, seorang wanita tidak menyangka jemputan terbuka yang dibuat secara santai di media sosial bertukar menjadi tular dan meriah dengan kehadiran tetamu tidak dikenali.
Menerusi hantaran di Thread Sabrinaamirah, dia pada mulanya memaklumkan rumah terbuka yang dianjurkan keluarganya masih mempunyai banyak makanan selepas ramai jemputan tidak dapat hadir ke majlis berkenaan.
Dia kemudian berkongsi mengenai perkara itu di laman Thread sebelum hantaran tersebut menarik perhatian ramai apabila beberapa individu tampil hadir, termasuk jiran dari blok bersebelahan yang sebelum ini tidak pernah dikenalinya.
“Ramai tak dapat datang, mak buat makan-makan. Makanan banyaklah juga, ada ke kawasan Gombak atau Pinggiran yang tengah lapang nak datang,” tulisnya.
Sabrinaamirah dalam hantaran berbeza kemudian memaklumkan dia tidak menyangka ajakannya itu disambut ramai termasuk menerima kunjungan daripada kru sebuah stesen radio tempatan.
“Tak sangka viral. ‘Random post’ saja ni baru nak baca. Terima kasih sangat yang sudi hadir ‘open house’ yang sederhana saja. Saya tak masak pun, pesan saja dan beli dari orang biasa saya beli setiap tahun. Alhamdulillah dapat kongsi rezeki yang sudi hadir.
“Paling tak jangka ‘team’ Era datang, baju dahlah t-shirt dengan tudung sarung saja, mak pun terus lari menyorok sebab malu,” katanya.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna meninggalkan pelbagai reaksi positif terhadap hantaran tersebut.
“Alhamdulillah sis. Terima kasih sudi menjamu saya. Saya orang terakhir sekali yang datang. Dapat jumpa team ERA, siap berbekal lagi. Terima kasih banyak-banyak. Semoga dimurahkan rezeki sis sekeluarga. Tahun depan buat open house ajaklah lagi,” kata Mohd Furqun.
“Alhamdulillah tahniah sis, dapat berkongsi rezeki dengan ramai orang.. asbab tetamu yang dijemput tak ramai datang, besar hikmahnya,” kata Arimza.
“Terbaik sis, pahala menjamu orang makan. Moga makin murah rezeki, dipermudahkan segala urusan dan lampu traffic light hijau,” kata Amandelight. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
6









![[VIDEO] Tengah makan beg pelanggan kena ragut….](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/Tangkap-layar-memaparkan-hantaran-yang-dimuat-naik-oleh-Oriental-Kopi-di-laman-Instagram..jpeg)






































