Lelaki Vietnam mengaku salah simpan lebih 1,000 hempedu, lidah ular sawa

1 day ago 9

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Vietnam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki lebih 1,000 bahagian hidupan liar dilindungi termasuk hempedu dan lidah ular sawa, awal bulan ini.

Tertuduh, Hoang Van Thai, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Vietnam di hadapan Hakim Madihah Zainol.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didapati menyimpan sebanyak 1,022 hempedu ular sawa dan 191 bahagian lidah ular sawa tanpa lesen sah.

Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah premis di Taman Johor Jaya pada pukul 9.50 malam, 4 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 60(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 60(1) akta sama, serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Undang-Undang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Mas Izzaty Lokman, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan pengesahan status Orang Kena Tuduh (OKT) daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor selain keputusan berhubung jaminan.

Terdahulu, media melaporkan, Perhilitan merampas pelbagai bahagian hidupan liar bernilai kira-kira RM36.8 juta selepas menyerbu sebuah kediaman di Taman Johor Jaya, Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, hasil pemeriksaan menemukan 602 hempedu ular sawa, 420 hempedu beruang serta 107 ketulan mampat dipercayai bahagian harimau.

Turut dirampas ialah 135 ketulan mampat bahagian primat dan 191 batang disyaki syawat ular sawa.

“Semua bahagian hidupan liar tersebut disita untuk tindakan lanjut dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM36.8 juta,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |