PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuka lebih banyak kemudahan prasekolah di seluruh negara selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewajibkan pendidikan bermula usia lima tahun.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, langkah berkenaan bagi menyediakan pengalaman pembelajaran asas yang holistik dan menyeluruh kepada kanak-kanak.
Jelasnya, tumpuan Kerajaan Madani pada ketika ini adalah untuk memastikan kadar enrolmen murid pada peringkat prasekolah dan menengah mencapai enrolmen sejagat.
“RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 bertujuan mewajibkan pendidikan menengah telah diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini.
“Tumpuan seterusnya adalah untuk mewajibkan pendidikan peringkat prasekolah.
Bagi memastikan usaha ini berjaya, lebih banyak kemudahan prasekolah bawah KPM
akan dibuka di seluruh negara,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) semalam, sebanyak RM67 bilion diperuntukkan untuk sektor pendidikan, termasuk bagi pembinaan sekolah baharu serta memperbaiki dan menaik taraf infrastruktur institusi pendidikan di seluruh negara.
Fadhilna berkata, tumpuan juga diberi kepada usaha bersepadu bagi memperkasa
penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta pengukuhan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Turut diberi penekanan katanya adalah berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta literasi digital termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurut Fadhlina, guru adalah asas penting kejayaan agenda reformasi pendidikan
negara.
“Justeru, Kerajaan Madani akan memberi fokus kepada aspek tambah baik pengambilan guru baharu, program latihan persediaan serta peningkatan kompetensi dan profesionalisme guru dalam perkhidmatan.
“RMK13 adalah manifestasi iltizam dan ikhtiar Kerajaan Madani untuk mereformasikan pendidikan negara menerusi pendekatan baharu yang radikal demi manfaat anak-anak Malaysia,”katanya.-KOSMO! ONLINE