AMPANG – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 27 April bagi status anak penyanyi 90-an iaitu Mohd. Alif Naim Mohd. Azmir serta dua lagi lelaki berhubung pertuduhan mencuri sebuah kereta jenis Ferrari milik seorang usahawan di pusat cuci kereta di Hulu Kelang dua tahun lalu.
Majistret Normaizan Rahim menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aizudin Radthuan memaklumkan pihak pendakwaan perlu menyemak mengenai satu laporan tarik balik kes itu yang dibuat oleh pengadu.
“Memandangkan kami (pendakwaan) tiada rekod berkenaan laporan tarik balik seperti yang dimaklumkan, saya mohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu untuk semakan pihak pendakwaan,” kata Muhammad Aizudin.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Alif Naim, 40, serta dua lagi lelaki didakwa bersama-sama mencuri Ferrari bernilai RM300,000 milik wanita berusia 53 tahun (usia waktu kejadian) di sebuah pusat cuci kereta di Hulu Kelang pukul 11.08 pagi pada 17 November 2024.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Bagi satu lagi pertuduhan pilihan, mereka didakwa bersama seorang yang masih bebas menyimpan Ferrari itu dengan mengetahui harta itu adalah harta curi.
Oleh itu mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sejurus selepas prosiding, peguam Muhamad Firdaus Jumaludin yang mewakili Mohd. Alif Naim ketika ditemui berkata pada peringkat ini, pihaknya sedang menunggu laporan rasmi berhubung laporan tarik balik laporan polis itu.
“Pengadu telah tarik balik laporan terhadap ketiga-tiga tertuduh dan difahamkan laporan polis tarik balik itu dibuat semalam. Pertikaian antara pengadu dan ketiga-tiga tertuduh telah diselesaikan termasuk membuat permohonan maaf secara baik,” kata peguam tersebut.
Semasa prosiding, selain Muhamad Firdaus, peguam Simran Kaur, Wan Nur Afifah Che Bakar dan Siti Syaerah Meor mewakili dua lagi tertuduh.
Sebelum ini, media melaporkan anak penyanyi tempatan antara enam individu yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes kehilangan supercar jenis Ferrari di sebuah pusat cuci kenderaan di Hulu Kelang. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
10


![[VIDEO] Siapa tujuh gadis pakat beraya sakan pakai baju pengantin?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/04/WhatsApp-Image-2026-04-17-at-10.19.21-AM.jpeg)












































