Kerja belum selesai, Ejen Ali sedia beraksi 22 Mei ini

16 hours ago 1

PETALING JAYA – Ejen Ali The Movie 2 sekali lagi menghidangkan aksi berintensiti tinggi dan emosi yang menggamit jiwa susulan kemunculan poster utama dan treler kedua yang mencetus perbualan sejak dilancarkan 1 Mei lalu.

Kembali dengan pertaruhan yang lebih besar, ancaman lebih berani dan babak aksi lebih mendebarkan, Ejen Ali 2 juga dibikin dengan animasi yang jauh lebih mengagumkan dengan visual memukau serta jalan cerita yang penuh emosi dan ketegangan.

Semua itu pastinya bakal membuat penonton tidak sabar menanti tarikh tayangan umum bermula 22 Mei nanti.

Gelombang sokongan daripada peminat sudah mula terasa sejak tayangan semula Ejen Ali The Movie pada Februari 2025 lalu, didorong lagi pelbagai video treler dan lagu tema rasmi, Hanya Kamu oleh Datuk M. Nasir, di platform penstriman digital, yang terus membangkitkan keterujaan untuk kepulangan Ejen Ali ke layar besar.

Treler kedua bermula dengan suara yang menyeru Ali untuk bangkit, disusuli ungkapan kata-kata ‘kerja kita belum selesai’ yang bergema.

Senario ini mendedahkan dialog beremosi antara Ali dan Rizwan, bekas ejen MATA yang muncul dengan motif tersembunyi.

Biarpun berdepan cabaran yang semakin rumit, Ali tekad bertarung menentang musuh lama yang menyimpan dendam kesuma, Neonimus, demi mempertahankan kota futuristik Cyberaya.

Ali juga perlu menguasai sut Satria untuk menyelesaikan misi ini, sebuah ciptaan inovasi teknologi berasaskan kecerdasan buatan terkini oleh agensi perisik MATA yang masih cukup asing buat dirinya. Pelantikan Ketua Teras MATA baharu, Ejen Amir (Neuro) dan Ejen Elle (Inviso) merubah dinamik pimpinan dan strategi dalam pertempuran ini.

Sementara itu, kelibat Rizwan yang berganding bersama duo penjahat Dos dan Trez mengundang seribu persoalan.

Alunan beat lagu latar yang menyerlah mencipta pengalaman menonton treler kedua yang membuatkan peminat meremang, sekali gus menyemarakkan keyakinan bahawa Ejen Ali The Movie 2 berpotensi menggegarkan dunia animasi tempatan dan antarabangsa sekali lagi.

Kesinambungan kepada Ejen Ali The Movie (2019), sekuel ini mengangkat konspirasi yang semakin mendalam dan musuh yang lebih mengancam dalam rungkaian plot yang bakal menguji semangat pasukan Ali ke tahap tertinggi.

Ketika Neonimus rancak menyusun langkah untuk menjerat Ali, setiap pilihan dan tindakan yang diambil Ali sangat kritikal.

Sebagai pengarah, Usamah Zaid Yasin mengakui keterujaan penonton menyaksikan Ejen Ali 2 kini semakin terasa.l

“Sebagai pengkarya, kami juga tidak sabar untuk menyambut para peminat di pawagam demi mempersembahkan naratif Ejen Ali pada skala besar dan berintensiti tinggi.

“Setiap detik dalam filem ini direncana rapi untuk membawa penonton menyelami dunia Ejen Ali dengan lebih mendalam, katanya.

Ejen Ali The Movie 2 dibawakan Primeworks Studios dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |