Kasma dedikasi kemenangan buat ibu

2 weeks ago 13

KUALA NERUS – KEBIJAKSANAAN Kasma Daniel Kasmayudin membaca perlumbaan membuahkan hasil apabila menjuarai perlumbaan kategori CP150 Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2025 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak semalam.

Lebih manis, kemenangan keduanya musim ini diraih tepat pada hari lahir ibunya sekali gus menjadi hadiah paling bermakna buat pelumba kelahiran Johor Bahru berkenaan.

Pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor terbabit berjaya mengetepikan cabaran sengit pencabar tuan rumah, Ahmad Afif Amran daripada Petronas Sprinta Yamaha CKJ Racing.

“Rezeki saya hari ini (semalam) sebab Afif seorang pelumba yang hebat, ditambah pula ini ‘home race’ dia. Saya tahu dia akan buat sehabis baik.

“Sebenarnya saya risau kalau tidak dapat mengekalkan momentum sebab sebelum perlumbaan dihentikan (bendera merah), kami bersaing sengit. Syukur saya dapat kekal konsisten sehingga ke garisan penamat,” katanya kepada Kosmo! selepas perlumbaan semalam.

Kasma berkata, dua pusingan terakhir menjadi penentu apabila Afif melakukan sedikit kesilapan yang memberi ruang kepadanya untuk memintas dan mengukuhkan kedudukan pendahulu.

“Niat asal saya pun cuma hendak naik podium, tapi apabila nampak peluang untuk menang, saya terus kejar habis-habisan,” ujarnya.

Kasma menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 22 minit 41.557 saat, mengatasi Afif (22:41.591s) dan rakan sepasukan, Danial Syahmi Ahmad Syahril (22:43.538s) yang meraih tempat ketiga.

Bagaimanapun, kejayaan itu turut dicemari tiga kemalangan besar membabitkan 10 pelumba gagal menamatkan perlumbaan akibat beberapa insiden berasingan sepanjang 16 pusingan.

Selepas lima pusingan, Afif kekal mendahului kedudukan dengan 115 mata, jauh meninggalkan Kasma di tempat kedua menerusi 72 mata menjelang aksi seterusnya dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 17 dan 18 Ogos nanti. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |