ALOR SETAR – Seorang jurukimpal dan bapa mentuanya dihukum penjara berjumlah 113 bulan atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk merompak dan pecah rumah sejak November tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Firdaus Muhammad Nazir, 24, dan Rasulden Jamal Mohamed, 47, mengaku bersalah atas enam pertuduhan termasuk tiga kesalahan yang dilakukan secara bersama di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, tempoh keseluruhan Muhammad Firdaus dipenjara adalah tiga tahun, manakala Rasulden selama 18 bulan selepas mengambil kira hukuman yang berjalan secara serentak sejak tarikh mereka ditahan dan disabitkan kesalahan.
Di Mahkamah Sesyen, Hakim Sharmila Abdul Samad menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Muhammad Firdaus selepas dia mengaku bersalah merompak beg tangan milik seorang wanita.
Dia dituduh melakukan rompak samun beg tangan mengandungi kad pengenalan, kad bank, wang tunai RM150 serta sebuah tablet berjenama Apple milik wanita berusia 21 tahun di lokasi berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Putra, di sini pada pukul 11.50 pagi, 18 Disember lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Muhammad Firdaus turut mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan pecah rumah di Taman Sri Derga, Jalan Datuk Kumbar kira-kira pukul 4 pagi, 18 November lalu.
Majistret Nur Syifa Mohd. Hamzah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun selepas dia disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda.
Bagi dua pertuduhan yang dilakukan bersama Rasulden, kedua-dua tertuduh didakwa menyimpan harta curi iaitu sebuah telefon bimbit jenis Samsung dan sebuah enjin motosikal Modenas Kriss di sebuah rumah di Lorong Ayer Puteh, Jalan Kota Tanah, di sini antara pukul 2.30 pagi hingga 4 pagi, 20 Disember lalu.
Nur Syifa memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara selama 18 bulan bagi dua pertuduhan tersebut yang dikemukakan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Rasulden turut dipenjara tujuh bulan bagi satu lagi pertuduhan di bawah seksyen sama kerana menyimpan harta curi iaitu sebuah beg, empat keping mata wang asing pelbagai negara serta dua utas jam tangan termasuk berjenama Rolex di lokasi dan tarikh yang sama.
Terdahulu, di hadapan Majistret Eliana Ismail, Muhammad Firdaus dan Rasulden dipenjara lima bulan selepas mengaku bersalah menyimpan secara bersama sebuah telefon bimbit jenis Vivo yang diragut daripada seorang warga Myanmar.
Kosmo! Online pada 23 Disember lalu melaporkan polis berjaya menahan seorang lelaki bersama menantunya sekali gus menyelesaikan beberapa kes ragut yang aktif di sekitar daerah Kota Setar, sejak tiga bulan lalu. – KOSMO! ONLINE

1 month ago
28

















































