PETALING JAYA – Johor Port Berhad (Johor Port), ahli Kumpulan MMC, mengendalikan sehingga 1,800 pergerakan lori sehari sepanjang tahun lalu, sekali gus mencatatkan tahap trafik darat tertinggi dalam sejarah Johor Port.
Johor Port dalam kenyataannya, jumlah keseluruhan pergerakan pengangkut mencecah 639,011 bagi tahun tersebut, mewakili peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding 2024.
“Ini sejajar dengan peningkatan jumlah pengendalian kontena kepada rekod 1.08 juta Unit Setara Dua Puluh Kaki (TEU), yang merupakan pencapaian tertinggi pernah dicatatkan oleh Johor Port.
“Aliran trafik berterusan, dengan purata sekitar 1,750 lori sehari, diurus tanpa gangguan besar, mencerminkan penambahbaikan dalam operasi pintu masuk,
penyelarasan bersama pengendali pengangkutan serta kecekapan keseluruhan terminal,” menurut kenyataan itu.
Pengerusi Johor Port, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, keupayaan mengurus jumlah pergerakan lori harian yang tinggi tanpa kesesakan ketara merupakan pemangkin utama pertumbuhan Johor Port serta rekod prestasi pelabuhan ini pada tahun 2025.
“Ia membolehkan kami menyokong peningkatan panggilan kapal, memastikan pelepasan kargo yang lebih pantas dan seterusnya mengukuhkan peranan Johor Port sebagai pintu masuk perdagangan serantau yang boleh dipercayai,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir berkata, jumlah pergerakan lori harian yang tinggi secara berterusan mencerminkan keyakinan terhadap operasi Johor Port.
“Mengendalikan hampir 1,800 lori sehari merupakan petunjuk kukuh tahap kepercayaan komuniti logistik terhadap Johor Port. Apa yang penting ialah pergerakan ini berjaya diurus dengan lancar, dengan kesesakan yang minimum, walaupun pada waktu puncak.
“Ini mencerminkan usaha kolektif pasukan kami serta kerjasama erat dengan pengendali pengangkutan,” katanya.
Johor Port sedang bersiap sedia untuk melaksanakan sistem pintu masuk dan jambatan timbang automatik menjelang akhir 2026, dengan matlamat
mengurangkan masa pemprosesan lori dan memperbaiki aliran trafik selaras dengan peningkatan jumlah pergerakan.
Johor Port juga menjangkakan kecekapan kawasan darat akan terus menjadi fokus utama selaras dengan peranan pelabuhan dalam menyokong aktiviti perdagangan yang meningkat, terutamanya susulan pembangunan seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura. – KOSMO! ONLINE

1 week ago
13



![[VIDEO] ‘Kenapa aku nampak kepala terbang’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-6.02.02-PM.jpeg)
![[VIDEO] Bergurau ketika solat, penghadang jatuh hempap budak hingga longlai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-5.58.44-PM.jpeg)



![[VIDEO] ‘Faizah…hiburkanlah saya’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-3.46.22-PM.jpeg)








































