MELAKA – Seorang kru helikopter Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang, malam tadi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala seorang lagi ditempatkan di Zon Kuning, Unit Kecemasan, Hospital Melaka.
Dua kru lain yang turut terlibat dalam kejadian itu dibenarkan keluar hospital hari ini selepas disahkan stabil.
Mangsa yang dirawat di ICU ialah Leftenan Komander Afiq Muzani Abdul Aziz yang merupakan Pegawai Taktikal Udara (TACCO), manakala kru di Zon Kuning adalah Bintara Kanan Technician Marine Srimala (Kuater Master Udara) Mohammad Zullfika Mohiddi.
Dua lagi kru yang dibenarkan keluar hospital ialah Leftenan Komander Muhamad Kamal Abdul Rani dan Leftenan Mohammad Faiz Razali masing-masing juruterbang dan pembantu TACCO.
Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Adly Zahari, pihaknya sedang mendapatkan kerjasama daripada Hospital Melaka dan Hospital Angkatan Tentera Lumut untuk sebarang kemungkinan pemindahan ke atas Mohammad Zullfika.
Helikopter Super Lynx ketika melakukan persiapan terakhir demonstrasi sebelum acara berlangsung di perairan Pantai Klebang, malam tadi.“Seorang kru berada di ICU kerana mengalami komplikasi pada paru-paru, manakala seorang lagi di Zon Hijau. Kedua-dua mereka stabil, namun masih dipantau rapi oleh pihak hospital.
“Kalau boleh kita akan pindahkan seorang (pegawai) ke Hospital Angkatan Tentera Lumut, cuma seorang lagi di ICU mungkin memerlukan pemantauan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat kru terlibat di Hospital Melaka.
Beliau berkata, usaha membawa keluar helikopter untuk penilaian teknikal sedang dijalankan dan dijangka selesai hari ini.
“Jawatankuasa teknikal akan melihat keperluan untuk mengenal pasti punca keseluruhan. Proses membawa helikopter ke Lumut dengan bantuan loader sudah siap sedia. Semua aspek teknikal, logistik dan operasi akan diambil kira supaya kejadian seumpama ini tidak berulang,” ujarnya.
Insiden berlaku pukul 10.50 malam tadi ketika helikopter tersebut sedang melakukan penerbangan demonstrasi sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-60 Grup Gerak Khas (GGK) Tentera Darat Malaysia.
Kesemua kru berjaya diselamatkan oleh pasukan TLDM sebelum dibawa ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan. – KOSMO! ONLINE

1 month ago
30

















































