Ini punca kemalangan bas bawa pelajar UPSI di Gerik

1 week ago 17

PETALING JAYA – Kemalangan maut membabitkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menaiki sebuah bas persiaran berpunca daripada interaksi antara kegagalan sistem brek dan tindakan pemandu semasa menuruni cerun.

Perkara itu diperoleh menerusi Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan berkaitan nahas terbabit yang berlaku di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Perak pada 9 Jun tahun lalu.

Menurut laporan itu, sistem brek bas terjejas akibat perubahan bentuk dan kehausan brake drum belakang sebelah kiri, serta pencemaran gris atau minyak pada ‘brake lining’ dan ketidakseragaman komposisi bahan lining.

Keadaan ini telah mengurangkan daya geseran brek dan mempercepatkan berlakunya fenomena ‘brake fade’.

Pada masa yang sama, bas dipandu pada kelajuan yang melebihi kelajuan selamat laluan.

Analisis video menganggarkan kelajuan bas semasa kejadian adalah sekitar 114.7 kilometer sejam (km/j) yang berada dalam dan melepasi julat kelajuan kritikal bagi kejadian terbalik iaitu antara 111.3 hingga 114.5 km/j.

Sehubungan itu, penggunaan brek secara agresif pada kelajuan tinggi menyebabkan peningkatan suhu komponen brek secara mendadak, seterusnya memburukkan degradasi haba dan mengurangkan keberkesanan brek secara progresif.

Secara keseluruhan, siasatan mendapati kemalangan ini berpunca daripada gabungan kompleks faktor mekanikal, manusia, persekitaran dan organisasi.

Kegagalan sistem brek bas yang tercemar dan tidak seragam, digabungkan dengan pemanduan pada kelajuan melebihi had selamat, telah menyebabkan kehilangan kawalan kenderaan.

Keadaan jalan yang mencabar, kelemahan reka bentuk dan pemasangan penghadang jalan, serta kegagalan struktur kabin bas telah meningkatkan keterukan impak dan kecederaan.

Di samping itu, amalan pengendalian tidak sah, ketidakpatuhan terhadap keperluan keselamatan, serta kelemahan kawal selia dan penguatkuasaan mencerminkan isu sistemik dalam industri pengangkutan pelancongan.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seramai 15 pelajar UPSI maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Gerik, Perak pada 9 Jun tahun lalu.

Difahamkan, ketika kejadian bas tersebut dalam perjalanan pulang ke kampus UPSI Tanjung Malim dari Jerteh, Terengganu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |