India serang Pakistan, 8 terbunuh

16 hours ago 1

ISLAMABAD – India melancarkan serangan ketenteraan ke atas berbilang sasaran di Pakistan, kata kedua-dua negara hari ini, manakala Islamabad mendakwa bahawa ia menembak jatuh sekurang-kurangnya dua pesawat Tentera Udara India sebagai tindak balas, lapor saluran berita CNN.

Serangan peluru berpandu India pada awal pagi ini menyasarkan ‘infrastruktur pengganas’ di wilayah Punjab di Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Islamabad.

Ia berlaku lebih dua minggu selepas insiden serangan ke atas pelancong di bahagian Kashmir yang ditadbir India sebelum New Delhi menyalahkan Pakistan dalam serangan itu.

“Tentera Pakistan menembak jatuh sekurang-kurangnya dua pesawat Tentera Udara India,” kata seorang jurucakap tentera Pakistan kepada CNN. 

Kedua-dua pihak saling bertukar tembakan merentasi sempadan, manakala seorang wartawan CNN di Kashmir yang ditadbir Pakistan berkata, dia mendengar beberapa letupan kuat. 

Saksi di bandar terbesar Kashmir yang ditadbir India, Srinagar, memberitahu CNN bahawa letupan menggegarkan bandar itu.

“Tindakan kami adalah bersasar, diukur dan bersifat tidak meningkatkan (ketegangan),” kata Kementerian Pertahanan India dalam satu kenyataan mengenai serangannya.

“Tiada kemudahan tentera Pakistan disasarkan. India telah menunjukkan kekangan yang besar dalam pemilihan sasaran dan kaedah pelaksanaan,” tambah kenyataan itu.

Pakistan menafikan dakwaan itu dengan berkata, serangan tersebut sebahagian besarnya mencederakan orang awam dan membunuh sekurang-kurangnya tiga orang termasuk seorang kanak-kanak.

Jurucakap tentera kemudian memberitahu agensi berita AFP bahawa angka kematian meningkat kepada lapan orang.

“Secara keseluruhan di enam lokasi, terdapat 24 impak di Pakistan. Dalam 24 hentaman ini, lapan warga Pakistan meninggal dunia, 35  cedera dan dua hilang,” kata Ahmed Sharif Chaudhry.

Perdana Menteri, Shehbaz Sharif berkata, negara itu mempunyai hak untuk bertindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai ‘tindakan perang’ oleh India sambil menambah, tindak balas yang sesuai sedang diberikan. – AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |