PUTRAJAYA – Cubaan sekumpulan warga asing melarikan diri tidak berhasil apabila premis hiburan yang menawarkan khidmat pelayan wanita warga Sri Lanka di sini, digempur Jabatan Imigresen (JIM).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi tersebut dijalankan selepas seminggu risikan hasil aduan awam terhadap sebuah restoran dan bar di kawasan ini.
“Pemeriksaan ke atas 20 individu mendapati 11 daripadanya ditahan iaitu sembilan wanita dan dua lelaki warga Sri Lanka yang bekerja di premis tersebut.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zakaria berkata, serbuan melibatkan 40 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) serta pegawai PASTAK Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, JIM Putrajaya.
Menurutnya, pasukan operasi turut mengeluarkan Borang 29 (saman saksi) kepada semua pelanggan dan pekerja premis itu bagi membantu siasatan.
Jelasnya, siasatan awal berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0 mendapati tiada unsur eksploitasi terhadap wanita terbabit dan tiada kesalahan di bawah Akta ATIPSOM 2007 dikesan.
“Hasil siasatan mendapati wanita terbabit berusia 20 hingga 33 tahun dan menerima gaji sekitar RM2,000 sebulan. Kebanyakan pasport mereka dipegang majikan sejak mula bekerja hampir setahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi premis itu adalah mengambil wanita warga Sri Lanka sebagai pelayan untuk menghiburkan pelanggan.
“Premis ini pernah beberapa kali diserbu pihak berkuasa namun masih degil meneruskan operasi. Semua yang ditahan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambahnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang di bawah Akta ATIPSOM 2007, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966. – KOSMO! ONLINE