APAKAH hukum suami yang membiarkan isterinya berzina dan terlalu bersangka baik?
JAWAPAN: Menjawab isu di atas, ia adalah satu dosa besar. Rasulullah SAW telah menyebut berkenaan perkara ini di dalam hadis-hadis Baginda. Dari itu, Imam al-Zahabi telah menyebut perkara ini sebagai salah satu daripada dosa-dosa besar yang wajib dijauhi di dalam kitabnya al-Kaba’ir (Dosa-dosa Besar). (Lihat al-Kaba’ir hlm. 130)
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ammar bin Yasir R.A, Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu lelaki yang dayus, wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak.” Lalu para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah! Kami telah faham maksud orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu lelaki yang dayus?” Nabi SAW bersabda: “Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).” (Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, 10310)
Takrif dayus adalah bercabang pada lidah atau lemah lembut dengan makna mudah atau ringan. Ia bermaksud seseorang lelaki yang tiada ghairah untuk mempertahankan keluarganya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 21/96)
Sedangkan dalam sunah, takrif dayus adalah apabila seseorang itu mengiyakan perbuatan keji seperti zina kepada keluarganya.
Antara tandanya, dia tidak kisah siapa yang menemui kaum keluarganya atau isterinya. Inilah tafsiran Ibn Hajar al-Haitami. (Lihat al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2/347)
Itlaq kalimah dayus iaitu setiap orang yang mengiyakan sebarang kejahatan terhadap ahli keluarga di bawah kekuasaannya dalam kalangan isteri, anak perempuan dan saudara perempuan. Sama ada ia membawa kepada zina atau jalan yang membawa kepada zina seperti mendedahkan aurat di hadapan lelaki ajnabi dan berkhalwat dengannya. (Lihat al-Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 17/197)
Manakala hadis daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda: “Tiga golongan yang telah diharamkan oleh Allah daripada memasuki syurga iaitu penagih arak, orang menderhakai ibu bapanya dan orang yang dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya. (Riwayat Ahmad, 5372)
Imam al-Munawi berkata, maksud al-Dayyus dalam hadis di atas ialah orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya iaitu isterinya dan termasuklah juga kaum kerabat terdekatnya.
Manakala ‘kejahatan’ yang disebutkan hadis di atas termasuklah zina, dengan tiada cemburu ke atas mereka. (Lihat Faidh al-Qadir oleh al-Munawi, 3/319)
Daripada nas-nas yang dinyatakan, jelas bahawa membiarkan isteri berzina dan terlalu bersangka baik terhadapnya adalah haram dan satu dosa besar.
Mereka disebut sebagai lelaki dayus iaitu membiarkan dengan siapa isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh lelaki lain.
Disebabkan itulah, Islam sangat menuntut rasa cemburu dalam diri seseorang.
Ibn Qayyim berkata: “Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga). Sesiapa yang tiada perasaan ini, maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya. Kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga menjauhkan daripada kejahatan dan perkara keji.
“Tanpanya hati akan mati. Maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.” (Lihat al-Jawab al-Kafi, hlm. 68)
Kami mengesyorkan sebarang tindakan oleh suami hendaklah dengan penuh kefahaman dan bukti yang jelas supaya tidak menzalimi isteri hanya melalui sangkaan sahaja semata-mata.
Begitu juga perlunya hubungan yang akrab dan intim antara pasangan suami isteri disuburkan dengan mengikat hubungan kepada Allah SWT.
Ikatan ini melalui solat berjemaah, qiamullai bersama di waktu malam, menghadiri majlis ilmu bersama anak-anak secara harian atau mingguan, membawa mereka ke masjid untuk solat berjemaah dan makan berjemaah yang sudah tentu sedikit sebanyak melahirkan rumah tangga Baiti Jannati.
Begitu juga, selalu wujudkan muhasabah dan nasihat khususnya bagi ketua keluarga agar rumah tangga tidak dibiarkan tanpa nakhoda untuk menuju ke akhirat dalam mencari mardhatillah.
Akhir sekali, lazimilah untuk berdoa bersama-sama agar keberkatan hidup singgah dalam melayari bahtera ini.

6 days ago
14















![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)

































