Generasi akan datang warisi kekayaan lebih RM294 trilion

2 days ago 10

JOHANNESBURG – Kekayaan lebih AS$70 trilion (lebih RM294 trilion) akan diwariskan dari satu generasi kepada generasi lain di seluruh dunia dalam dekad akan datang, menyebabkan jurang ketidaksamaan pendapatan semakin lebar dan memerlukan campur tangan negara-negara Kumpulan 20 (G20) bagi menanganinya, lapor akhbar The Guardian semalam.

Dalam laporan menjelang mesyuarat G20 di Johannesburg yang dihoskan Afrika Selatan akhir bulan ini, sebuah panel pakar berkata, jurang kekayaan global antara golongan kaya dan miskin akan terus melebar pada dekad akan datang.

Ahli ekonomi dan pemenang Hadiah Nobel, Joseph Stiglitz berkata, laporan yang diusahakan oleh Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa itu mendapati ketidaksamaan pendapatan akan semakin meningkat di lebih lapan daripada setiap 10 negara dunia.

Menurut laporan sama, 83 peratus negara yang menyumbang 90 peratus populasi dunia didapati memenuhi definisi Bank Dunia mengenai ketidaksamaan yang tinggi.

Negara-negara ini mempunyai kecenderungan tujuh kali ganda lebih tinggi untuk mengalami kemerosotan demokrasi berbanding negara-negara berpendapatan lebih sama rata.

“Ketidaksamaan (pendapatan) adalah musuh martabat rakyat,” kata Ramaphosa.

G20 ditubuhkan selepas krisis perbankan 2008 untuk menjadi kumpulan yang lebih representatif daripada kumpulan negara-negara terkaya dunia ( G7 ). Anggota G20  termasuk Arab Saudi, Mexico, Afrika Selatan dan UK.

Laporan itu menyatakan, analisis baru menunjukkan bahawa antara tahun 2000 hingga 2024, 1 peratus golongan teratas dunia menguasai 41 peratus daripada semua kekayaan baharu.

Menurut analisis berkenaan, sebanyak AS$70 trilion kekayaan akan diwarisi kepada generasi akan datang menjelang 2035. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |